Awak follow kita , kita follow awak balik ! hehe ^_~

Tuesday, November 6, 2012

Bidadari Syurga


Bidadari Syurga


Bidadari syurga, makhluk yang telah sangat indah yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hambaNya yang soleh, yang berbuat kebaikan, yang layak untuk memasuki syurga. Diceritakan bahawa bidadari-bidadari syurga ini terlalu rindukan suaminya di dunia dan teringin melihat suaminya di dunia, namun tidak diberi izin oleh malaikat penjaga syurga. Suatu hari mereka meminta izin dari Allah untuk menjenguk ke bumi bagi melihat suami mereka dan telah diizinkan. Bidadari-bidadari ini dapat mengenal siapa suami mereka kerana di dada mereka telah tertulis nama suami yang mereka rindui.

Apabila melihat ke bumi, mereka terlihatlah bidadari-bidadari akan isteri bagi suami mereka di dunia tidak taat serta berbuat derhaka kepada suami, lalu bidadari syurga itu berkata, “Janganlah kamu menyakitinya, semoga Allah memerangimu, sesungguhnya dia hanyalah tamu di sisimu, sebentar lagi dia akan datang kepada kami dan meninggalkanmu.” Di dalam Al-Quran dan hadith banyak sekali dijelaskan ataupun digambarkan tentang susuk bidadari yang bertempat di syurga dan bersedia melayani para ahli Jannah.


AL-QURAN


Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah. (Al-Imran:15)


Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. (Ad-Dukhan:54)


Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya. (Al-Waqi’ah:22)


Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh). (Al-Waqi’ah:35-36)


Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya. (Sad:52)


Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin; maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan. (Ar-Rahman:56-58)


Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya. (As-Saffat:48)


Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (bidadari-bidadari) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya. (Ar-Rahman:70)


Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing; maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin. (Ar-Rahman:72-74)


HADITH


Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika salah seorang bidadari menampakkan wajahnya, nescaya akan menerangi antara langit dan bumi.” (H.R. Bukhari)


Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Azza wa Jalla berfirman, “Aku siapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh fikiran.” (H.R. Bukhari dan Muslim)


Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Jibril mengatakan kepadaku bahawa ketika orang mukmin masuk syurga, akan disambut oleh bidadari dengan pelukan hangat dan erat. Dengan jari dan telapak tangan manakah akan dibandingkan kelembutan dan keindahannya, kalau lambaiannya akan memadamkan sinar matahari dan bulan?” (H.R. Thabrani)


Rasulullah s.a.w bersabda: “Sekiranya salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang harum semerbak. Sungguh penutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)


Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika sehelai saja dari rambut bidadari jatuh ke bumi, nescaya wanginya akan meliputi seluruh timur dan barat.” (H.R. Ath-Thabrani)


Ibnul Qayyim memberikan penjelasannya mengenai hal ini: “Mengenai rambut bidadari ada dua sifat kontradiktif yang membuat kecantikannya semakin nyata dan memikat. Pekatnya hitam rambut terpadu dengan putihnya wajah dan mata yang bersinar cemerlang. Sungguh kontras sekali, namun disitulah letak kecantikannya.” (Kitab Hadzil Arwah:316)


Rasulullah s.a.w bersabda: “Rombongan yang pertama masuk syurga adalah dengan wajah bercahaya bak rembulan di malam purnama. Rombongan berikutnya adalah dengan wajah bercahaya seperti bintang-bintang yang berkilau di langit. Masing-masing orang di antara mereka mempunyai dua isteri, dimana sumsum tulang betisnya kelihatan dari balik dagingnya. Di dalam syurga nanti tidak ada orang bujang.” (H.R. Bukhari dan Muslim)


Rasulullah s.a.w bersabda: “Penghuni syurga boleh mencermin melihat wajahnya di pipi bidadari yang mulus itu.” (H.R. Al-Baihaqi dan Al-Hakim)


Dari Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seandainya bidadari meludah pada tujuh lautan, nescaya air laut akan tawar kerana keindahan dan kemanisan mulutnya, kerana bidadari terbuat dari za’faran.”

Dalam sebuah riwayat oleh Hafidz Abu Bakar Al-Ajri, dari Imran bin Hasyim dan Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda: “Mahligai-mahligai (istana) di syurga itu tercipta dari Lu’lu, dan pada tiap-tiap mahligai itu ada tujuh puluh kampung dari Yaqut yang merah dan pada tiap-tiap kampung ada tujuh puluh rumah daripada Zamrud yang hijau; dan tiap-tiap rumah ada tujuh puluh tempat tidur; dan tiap-tiap tempat tidur ada tujuh orang perempuan dari bidadari.”

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sungguh tutup kepala salah seorang wanita surga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)


Dari Anas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seorang mukmin di syurga diberi kekuatan untuk menjimak isterinya sekian dan sekian.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah ia begitu kuat?” Baginda s.a.w bersabda, “Ia akan diberi kekuatan seratus orang laki-laki.” (H.R. Tirmidzi)


Dari Ummu Salamah r.a, ia berkata: Saya bertanya, “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari yang bermata jeli?” Baginda s.a.w menjawab, “Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata jeli, seperti kelebihan apa yang tampak daripada apa yang tidak tampak.” Saya bertanya, “Kerana apa wanita dunia lebih utama daripada mereka?” Baginda s.a.w menjawab, “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, ‘Kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemah-lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali, kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya’.” (H.R. Ath-Thabrani)


Riwayat Ibnu Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat bidadari-bidadari. Dikatakan kepadanya, namanya ‘Aina’, ia diciptakan dari empat unsur, iaitu misik, kafur, anbar dan za’faran. Semua bidadari-bidadari itu sangat merindukan suami-suami mereka. Andai sekali saja bidadari-bidadari itu meludah di dunia maka tawarlah lautan tersebut lantaran ludahnya. Tertulis pada tengkuknya, ‘Barangsiapa yang suka akan dirinya seperti aku, maka beramal dengan ketaatan kepada Tuhannya’.”


Riwayat Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya ketika Allah menciptakan syurga ‘Adn, Dia memanggil malaikat Jibril, berangkatlah engkau ke syurga ‘Adn dan lihatlah apa yang telah aku ciptakan untuk hamba-hambaKu dan wali-waliKu. Maka berangkatlah Jibril ke syurga ‘Adn dan mengelilingi syurga tersebut. Maka salah seorang bidadari dari penghuni istana-istana syurga yang masih perawan dan matanya bersinar-sinar memuliakannya, lalu bidadari itu tersenyum pada malaikat Jibril, maka menjadi teranglah syurga ‘Adn kerana gigi-giginya. Lalu malaikat Jibril bersujud, ia menyangka cahaya itu berasal dari Nur Tuhan Yang Maha Mulia. Maka bidadari itu memanggil malaikat Jibril, “Wahai makhluk yang dipercayai Allah s.w.t, tahukah engkau untuk siapa aku diciptakan?” ucap bidadari jelita itu. “Tidak,” jawab malaikat Jibril. “Sesungguhnya aku ini diciptakan oleh Allah s.w.t untuk orang yang memilih redha Allah s.w.t daripada menuruti hawa nafsunya,” ungkap bidadari itu.”


Di dalam kitab Daqoiqul Akbar Fii Dzikril Jannati Wan-Nar karya Imam Abdirrahim bin Ahmad Al-Qadhiy disebutkan: Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah s.w.t menciptakan wajah bidadari dari empat warna, iaitu putih, hijau, kuning, dan merah. ALLAH menciptakan tubuhnya dari minyak za’faran, misik, anbar dan kafur. Rambutnya dari sutera yang halus. Mulai dari jari-jari kakinya sampai ke lututnya dari za’faran dan wangian. Dari lutut sampai payudara dari misik. Dari payudara sampai lehernya dari Anbar dan dari leher sampai kepalanya terbuat dari kafur. Seandainya bidadari itu meludah sekali di dunia, maka jadilah semua air di dunia Kasturi. Di dadanya tertulis nama suaminya dan nama-nama Allah s.w.t. Pada setiap tangan dari kedua tangannya terdapat sepuluh gelang dari emas, sedangkan pada jari-jarinya terdapat sepuluh cincin, dan pada kedua kakinya terdapat sepuluh binggal (gelang kaki) dari Jauhar dan permata.”


Sumber : Dr. Prof Engku Zaki (Dekan Fakulti Kontemporari Islam UniSZA)



Monday, November 5, 2012

Jin Dan Syaitan Boleh Mempengaruhi Kehidupan Manusia.


Tugasan 1 Mabahith Sam'iyyat.


Soalan 4. Jelaskan Pengertian Jin Dan Syaitan Serta Terangkan Apakah Jin Dan Syaitan Boleh Mempengaruhi Kehidupan Manusia.


Pengenalan: 
Jin merupakan alam selain daripada alam manusia dan alam malaikat. Jin dan dan manusia berkongsi pada beberapa sifat akal dan pengetahuan. Dari sudut kemampuan pula, dibezakan pada jalan kebaikan dan kejahatan. Kedua-dua makhluk ini (jin dan manusia) juga turut berbeza pada asal kejadian.


Pengertian Jin

1. Bahasa : Diambil daripada perkataan arab (janna) dan dinamakan jin disebabkan tertutupnya mereka dari pandangan mata (manusia) sebagaimana kata-kata Ibnu Aqil.


2. Istilah (Ilmu Aqidah) :

i- Jin merupakan ruh yang berakal serta mukallaf (dipertanggungjawabkan dengan syariat) seperti manusia. Akan tetapi jin berbeza asal kejadiannya dengan manusia, tertutup melihat mereka dari pandangan manusia dengan rupanya yang sebenar dan mereka berupaya untuk menjelma dengan bentuk yang pelbagai.[1]


ii- Jin merupakan ruh yang diciptakan daripada api yang berupaya untuk menjelma dengan bentuk yang pelbagai. Jin makan serta minum, terdiri daripada lelaki dan perempuan akan tetapi manusia terhalang melihat tabiat mereka. Akan tetapi manusia boleh melihat mereka jika menjelma dalam bentuk yang boleh dilihat seperti anjing dan seumpamanya.[2]


Dalil-Dalil Atas Kewujudan Jin


1. Kewujudan mereka (jin) diakui oleh semua agama :
Berkata Ibnu Taimiyyah di dalam Majmu'ah Fatawa, "Sekalian umat Islam mengakui akan kewujudan jin. Demikian juga orang-orang kafir (paderi-paderi), juga orang-orang musyrikin Arab, orang-orang Kan'an (bangsa Arab di Syam) dan orang-orang Yunani (Greek). Maka ramainya kumpulan-kumpulan ini membuktikan kan kewujudan jin".
Dan Imam Al-Haramain menyatakan, "Sesungguhnya para ulama' pada zaman sahabat dan tabi'in telah bersepakat tentang kewujudan jin dan syaitan dan meminta perlindungan daripada Allah daripada kejahatan mereka (jin dan syaitan). Dan ianya telah menjadi sebhagian daripada urusan agama".[3]


2. Nas-nas Al-Quran Dan Hadis :


Firman Allah Taala dalam surah al-jin ayat 1 yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadamu bahawasanya: Telah mendengar sekumpulan jin (akan Al Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al-Quran yang menakjubkan,".


3. Penglihatan dan penyaksian :
Ramai manusia di zaman kita dan zaman dahulu telah menyaksikan perkara ini. Sebahagian mereka telah melihat dan mendengar (suara) tidak mengetahui yang itu sebenarnya adalah jin, sehingga mereka mendakwa bahawa ianya adalah roh-roh orang mati, orang bunian dan seumpamanya. Dan perkara ini sebenarnya telah dibuktikan dalam hadis-hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W pernah melihat jin, bercakap dengan mereka, mengajar mereka serta membacakan Al-Quran kepada mereka.


Hukum Beriman Dengan Jin :


Menyakini tentang kewujudan jin hukumnya adalah wajib. Sesungguhnya telah datang satu surah daripada surah-surah Al-Quran yang dinamakan dengan surah al-jin pada juzuk ke-29 dengan diceritakan dengan jelas di dalam surah ini akan perihal jin. Oleh yang demikian, dianjurkan kepada kita membaca surah ini beserta dengan tafsirannya. [4]


PENGERTIAN SYAITAN :


Syaitan pada sudut bahasa bererti setiap unsur yang keji yang terdapat pada manusia, jin dan binatang.[5]
Maka disebut makhluk yang ingkar terhadap Tuhannya dengan lafaz syaitan juga thoghut sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah An-Nisa' ayat 76 yang bermaksud:

"Orang-orang yang beriman itu berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir (pula) berperang di jalan thoghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah,".
Dan panggilan ini (syaitan) menjadi kebiasaan untuk merujuk kepada sikap yang buruk dan terkeji dalam diri manusia sebagaimana dinyatakan oleh Al-'Aqad dalam kitabnya yang berjudul Iblis. Dan panggilan thoghut pula bagi merujuk pada orang-orang melampaui batas dan mengingkari perintah Allah S.W.T.[6]


Dalil yang jelas yang menunjukkan bahawa syaitan asalnya daripada jin atau sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Taala:

"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka dia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (dari Allah) bagi orang-orang yang zalim," (Al-Kahfi:50).


Dan Ibnu Taimiyyah Rahimahullah mengatakan, "Bahawasanya syaitan itu berasal daripada jin sebagaimana Adam berasal daripada manusia,".[7]



SIFAT-SIFAT YANG BERKONGSI PADANYA JIN, SYAITAN DAN MANUSIA.


1. Makan dan minum :

Jin juga syaitan makan dan minum. Di dalam Sahih Bukhari daripada Abi Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W pernah menyuruhnya untuk membawa batu untuk melontarnya (jin) dan bersabda kepadanya : "Jangan bawa kepadaku tulang juga najis binatang". Dan tatkala Abu Hurairah bertanya Rasul S.A.W tentang rahsia larangan baginda pada tulang dan najis binatang maka Nabi bersabda : "Kedua-duanya merupakan makanan jin,".
Sesungguhnya Rasulullah telah mengkhabarkan kepada kita bahawasanya syaitan makan dengan tangan kirinya. Maka baginda telah menyuruh kita untuk menyalahinya (makan dengan tangan kanan). Imam Muslim meriwayatkan di dalam sahihnya daripada Ibnu Umar R.A: Bahawa Nabi S.A.W telah bersabda : "Apabila makan seseorang kamu, maka makanlah dengan (tangan) kanannya. Dan apabila minum, maka minumlah dengan (tangan) kanannya. Maka sesungguhnya syaitan itu makan dengan (tangan) kirinya, serta minum dengan (tangan) kirinya,".[8]


2. Berkahwin dan beranak-pinak :

Berkata Dr. Ibrahim Bin Ibrahim Al-Quraibi, "Jelasnya adalah jin itu berkahwin, berpasangan serta beranak-pinak berandarkan kepada asal dan bentuk mereka. Dan ia merupakan sunnah (ketetapan) untuk melengkapkan setiap benda yang hidup atas peraturan 'Sunnah Yang Dijadikan Allah' dan ia telah dijelaskan oleh Al-Quran.".[9]


3. Dipertanggungjawabkan dengan syariat :


Ini jelas disebutkan pada banyak ayat di dalam Al-Quran antaranya :
Firman Allah Taala : "Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku," (Az-Zaariyat:56).



APAKAH JIN DAN SYAITAN BOLEH MEMPENGARUHI KEHIDUPAN MANUSIA?


Jin dan syaitan boleh mempengaruhi kehidupan manusia iaitu  menguasai dan mempengaruhi melalui hati manusia.
            Apabila Syaitan laknatullah mengetahui dan menyedari, pusat operasi terpenting dalam tubuh badan manusia ialah hati, ia berusaha sedaya upaya untuk menguasai pusat ini dengan cara mewujudkan perasaan was-was kepadanya, menghiasi nafsu dan syahwat dan melariskan gerak kerja yang boleh menyelewengkan seseorang dari jalan yang lurus. Tidak cukup dengan teknik ini. Syaitan menguatkannya dengan sumber-sumber lain yang menjadikan manusia jauh dari mendapat taufik daripada Allah S.W.T..  Berbagai jerat dan jaring digunakan Syaitan untuk mempengaruhi manusia. Andaikata manusia terselamat daripada terjebak ke dalam satu jaring, ia tetap tidak dapat mengelakkan diri daripada menempuh halangan lain dalam perjalanan menuju kepada redha Allah.
            Amat jarang manusia yang terselamat daripada tipu daya ini, kecuali mereka yang berterusan mendampingkan diri kepada Allah dan berterusan memohon pertolongan dariNya, melaksanakan perkara-perkara yang mendatangkan keredhaanNya, menumpukan hati kepadaNya dan sentiasa mengingatiNya di setiap gerak dan diam. Begitu juga dengan orang yang melaksanakan tugas ubudiyah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar pengabdian. Firman Allah SWT yang bermaksud: “ Sesungguhnya hamba-hambaku yang ikhlas, tidak akan dapat dipengaruhi oleh mereka (Syaitan).” (Al-Hijr : 42).
            Inilah senjata yang paling ampuh untuk menghalang penguasaan Syaitan dan Jin keatas diri manusia. Apabila hati telah disinari dengan ubudiyyah dan keikhlasan kepada Allah dalam melaksanakan segala titah perintahNya dan dalam menjauhkan diri daripada segala laranganNya, jadilah tuannya sebagai orang yang dekat kedudukannya dengan Allah SWT.  Firman Allah SWT yang bermaksud : “........ Kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas sahaja (tidak dapat dipengaruhi oleh syaitan).” (Al-Hijr : 40).[10]
Hati berdasarkan fitrah semulajadi ciptaan Allah SWT bersedia untuk menerima petunjuk, tetapi oleh kerana ia dibentengi oleh runtunan nafsu syahwat, menjadikan ia menyeleweng dari jalan petunjuk. Hati sentiasa menjadi rebutan antara tentera malaikat yang ditugaskan khas menjaga hati manusia dengan tentera syaitan yang berusaha keras untuk menjajah dan menaklukinya, sehingga hati itu menyerah kepada salah satu daripada dua bala tentera ini. Apabila hati sudah dikuasai dan dijajah oleh mana-mana tentera ini, tentera ini akan menguatkan cengkamannya ke atas hati dan seterusnya membuat penempatan dan membuka pejabat pentadbirannya di sana. Dalam Al-quran dijelaskan, mafhumnya “ Dan dari kejahatan pembisik (syaitan) penghasut yang timbul tenggelam..” (An-Nas : 4).
            Setiap muslim yang mengingati Allah, bala tentera syaitan dan jin akan menjauhinya. Apabila ia lalai dari mengingati Allah SWT, syaitan akan mengambil kesempatan menguasainya. Tentera-tentera syaitan ini tidak dapat dihalau oleh hati kecuali dengan menggunakan zikrullah. Tentera syaitan tidak dapat menetap didalam hati manusia, yang sentiasa berzikir kepada Allah SWT.
            Hati tidak ubah seperti satu benteng yang kukuh. Syaitan pula adalah musuh yang sentiasa berusaha untuk menguasai benteng ini. Oleh itu benteng ini tidak mungkin dapat dipastikan tidak jatuh ke tangan musuh kecuali dengan mengawal ketat ke semua pintu-pintu yang ada. Tidak ada golongan yang dapat mengawal pintu ini, jika ia sendiri tidak mengetahui cara untuk mengawalnya. Sehubungan dengan itu, tidak ada cara untuk menolak gangguan syaitan kecuali dengan mengenalpasti saluran-saluran yang menjadi agen syaitan itu sendiri.[11]
Saluran-saluran dan pintu-pintunya adalah sifat-sifat yang menghiasi diri seorang hamba itu sendiri. Pintu-pintu ini cukup banyak. Apa yang akan disebutkan disini hanya pintu besar sahaja :
1.      Pintu Hasad Dengki dan Rakus.
Apabila seorang hamba Allah SWT begitu rakuskan sesuatu benda, baik berupa harta benda mahupun pangkat kebesaran, kerakusan ini akan membutakan mata hatinya dan membisukannya, seterusnya menutup cahaya mata hatinya dari mengenal jalan-jalan yang mudah dimasuki syaitan. Kerakusan dan ketamakan ini  merangkumi semua aspek seperti tamak untuk medapatkan harta, pangkat kebesaran, nama dan kemasyhuran. Setiap insan baik ulamak , pendakwah, pemerintah, ahli ibadat, tokoh peniagaan mahupun orang awam hendaklah memastikan pintu-pintu ini ditutup rapat dan tidak dibuka sehingga memudahkan syaitan memasukinay. Syaitan akan membuatkan ia memandang baik dan elok segala aktiviti yang boleh menyampaikan hasratanya, walaupun terang-terangan bercanggah dengan ajaran-ajaran al-Quran. Syaitan juga memperlihatkan kepada mangsanya helah-helah supaya mangsanya itu memandang kebajikan yang dilakukan oleh seseorang sebagai keburukan seperti kononnya untuk mendapatkan nama atau menunjuk-nunjuk. Syaitan juga berusaha memujuk mangsa-mangsanya supaya mengenakan khidmat bomoh dan ahli sihir demi menjatuhkan orang yang dibenci.
2.      Pintu marah.

Sifat marah biasanya menghilangkan kewarasan akal seseorang. Apabila tentera akal sudah lemah, syaitan akan menyerang individu terlibat dan mempermainkannya sebagaimana kanak-kanak mempermainkan bola di tangan mereka. Diriwayatkan syaitan laknatullah pernah berkata yang bermaksud : “ apabila seorang hamba itu bersangatan marahnya, kami akan bolak-balikkan hatinya sebagaimana kanak-kanak membolak-balikkan bola ditangan mereka”.[12]


Kesimpulan :
Bagi menghindari dari Syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran, mencegah diri dari berbicara yang berlebihan, memelihara mata, telinga, hati dan segala anggota, membuang amalan-amalan Syaitan seperti ketawa yang berlebihan, berjalan di waktu senja dan yang terakhirnya yang mesti kita lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya Syaitan.










Rujukan :

1.      'Alamul Jin Was Syayathin. 2008M-1429H. Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar. Darun Nafaais : Jordan.
2.      Al-Lubab fi Syarhil Aqidah 'ala Dhuis Sunah Wal Kitab. Cetakan Ketiga 2008M-1429H.  Dr. Ibrahim Bin Ibrahim Al-Quraibi.
3.      Al-'Aqidah Al-Islamiah (1). Cetakan 2009M-1432H. Dr. Ahmad Muhammad Ahmad Al-Jalli, Dr. Ali Bin Al-'Ajami Al-'Asyie dan Dr. Abdul Ghani Haidar Faari'. Darul Kitab Al-Jaami'e, Sana'a.
4.      Al-'Aqaaid Al-Islamiah. Cetakan 2000M-1420H. As-Sayyid Sabiq : Darul Fath Lil I'lamil 'Arabi, Kaherah.
5.      Rawatan Keracunan Hati. 1999. Basri Ibrahim. Kuala Lumpur : Darulnuman.


[1] Al-'Aqaaid Al-Islamiah / As-Sayyid Sabiq / Darul Fath Lil I'lamil 'Arabi, Kaherah / Cetakan 2000M-1420H, ms 115.
[2] . Al-'Aqidah Al-Islamiah (1) / Dr. Ahmad Muhammad Ahmad Al-Jalli, Dr. Ali Bin Al-'Ajami Al-'Asyie dan Dr. Abdul Ghani Haidar Faari' / Darul Kitab Al-Jaami'e, Sana'a / Cetakan 2009M-1432H-, ms. 121.
[3] 'Alamul Jin Was Syayathin / Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar / Darun Nafaais, Jordan / Cetakan 2008M-1429H, ms 18.
[4] Al-'Aqidah Al-Islamiah (1) / Dr. Ahmad Muhammad Ahmad Al-Jalli, Dr. Ali Bin Al-'Ajami Al-'Asyie dan Dr. Abdul Ghani Haidar Faari' / Darul Kitab Al-Jaami'e, Sana'a / Cetakan 2009M-1432H, ms 121.
[5] Al-Qamus Al-Muhith - ms. 1209
[6] Alamul Jin Was Syayathin / Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar / Darun Nafaais, Jordan / Cetakan 2008M-1429H, ms 21.
[7] 'Alamul Jin Was Syayathin / Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar / Darun Nafaais, Jordan / Cetakan 2008M-1429H, ms 23.
[8] 'Alamul Jin Was Syayathin / Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar / Darun Nafaais, Jordan / Cetakan 2008M-1429H, ms 27-28.
[9] Al-Lubab fi Syarhil Aqidah 'ala Dhuis Sunah Wal Kitab / Dr. Ibrahim Bin Ibrahim Al-Quraibi / Sana'a / Cetakan Ketiga 2008M-1429H, ms 511.
[10] Basri Ibrahim, 1999, Rawatan Keracunan Hati, Kuala Lumpur : Darul Nu’man, ms 6-7.
[11] Ibid ms 8-9.
[12] Ibid ms 14.

Thursday, November 1, 2012

Jihad Masa Kini : Jihad Sebagai Mahasiswa Islam


PENDAHULUAN : Konsep Jihad
Konsep jihad harus diberi makna yang lebih luas supaya konotasi jihad tidak dilihat secara negatif dan sempit. Jihad dalam bahasa yang mudah bermaksud perjuangan dan pengorbanan. Memperjuangkan sesuatu yang baik, berfaedah dan bermanfaat dikatakan jihad. Berkorban tenaga, masa, pemikiran, dan wang ringgit juga dikatakan jihad. Memperkasakan ilmu umat islam adalah jihad. Melibatkan diri dalam usaha niaga dan korporat secara berkesan adalah jihad. Dan tentunya jihad mengawal (jihad al-Nafs) adalah jihad yang lebih besar.[1]
Jihad juga di ertikan sebagai peperangan maksudnya peperangan terhadap orang kafir yang dipandang musuh, kerana membela agama Allah SWT. Maksud peperangan disini ialah untuk menangkis serangan dan menghentikan kezaliman serta keaniyaan. Jika musuh sudah berhenti dan tidak memfitnah, atau memaksa-maksa, maka peperangan di hentikan. Jihad ini ialah masalah keamanan, ketertiban masyarakat dalam negeri ataupun luar negeri.[2]
Selama ini ramai yang menganggap bahawa jihad itu hanyalah “peperangan bersenjata antara orang islam dengan bukan orang islam bagi menegakkan ajaran Islam” sahaja. Sedangkan erti jihad yang sebenar adalah lebih luas dari itu iaitu termasuklah apa jua usaha yang dijalankan secara bersungguh-sungguh untuk memastikan agama islam sentiasa berada di tempatnya yang mulia dan suci dan umatnya sentiasa beroleh kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.[3]


JIHAD PALING BESAR, JIHAD KECIL
            Jihad paling besar ialah perjuangan menentang kecenderungan lahirirah seseorang. Manusia mempunyai suatu sifat yang sama dengan binatang, iaitu jika dibiarkan bebas manusia akan menjadi makhluk yang paling merbahaya.  Mengawal kehendak (nafsu) manusia inilah yang dikatakan jihad.
            Jihad kecil pula ialah berjuang bagi pihak masyarakat untuk mempertahankan mereka adalah tanggungjawab umat Islam apabila mereka diserang. Jihad ini lebih menjurus kepada jihad peperangan.[4]


WANITA DAN JIHAD
            Jihad dalam Islam tidak terbatas kepada kaum lelaki sahaja, tetapi dibebankan juga kepada kaum wanita sesuai dengan kemampuan dan kudrat kewanitaannya. Islam tidak mewajibkan kepada wanita untuk berjihad seperti memikul senjata, kerana ada faktor-faktor kewanitaannya yang dapat menghalangi untuk melakukan jihad bersenjata dengan sempurna. Meskipun kenyataannya sedemikian, sejarah telah mencatatkan tentang wanita-wanita muslimat yang turut berperang secara nyata memanggul senjata sebagai mujahadah dan bertempur di medan peperangan.[5]

HUKUM JIHAD :
            Jihad dalam erti khusus, iaitu memerangi orang-orang kafir dan orang-orang yang memerangi (agama/negeri) islam. Hukum jihad adalah fardhu kifayah, iaitu apabila sudah ada sebahagian orang yang melaksanakannya, maka sebahagian lainnya terbebas dari kewajiban tersebut, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “tidak sepatutnya seluruh orang beriman itu pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya ketika mereka telah kembali kepadanya.... (At-Taubah : 122).
            Jihad akan menjadi fardhu ain bagi orang yang disuruh oleh seorang imam. Hal ini berdasarkan sabda Rasulallah SAW yang bermaksud : “Apabila (seorang imam) meminta kalian pergi (ke medan perang), maka pergilah kalian.” (H.R. Mutafaq alaih). Begitu juga, apabila musuh menyerang (negeri islam) dengan tiba-tiba, maka seluruh penduduk negeri tersebut, bahkan wanita pun, wajib mempertahankannya dan memerangi musuh.[6]

JENIS-JENIS JIHAD:
1.      Jihad Dengan Lisan.
            Kandungan pertama sekali dalam jihad lisan ialah menyampaikan Islam dengan hujjah kepada orang-orang kafir, munafiq dan fasiq. Firman Allah Taala: “Dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al-Quran dengan jihad yang besar.” (Surah Al-Furqan:ayat 52)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sampaikanlah daripada aku walaupun satu ayat.”
Kedua-dua nas ini menunjukkan kepada jihad ke atas orang musyrikin dengan lisan dan orang-orang yang menyeleweng dari segi perbuatan mereka yang mencanggahi perintah Allah.
Termasuk di dalam jihad lisan ialah memberi nasihat dan memberi peringatan. Kedudukan ini sesuai dengan firman Allah Taala iaitu: Yang bermaksud: “Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itubermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”(Surah Al-Dhariyat: Ayat 55).

2.      Jihad Pendidikan (Ta’limi)
Jihad ta’lim pula ialah berusaha bersungguh-sungguh mengajar, memberi ilmu dan mendidik orang-orang yang mahu menghayati Islam. Dalil kepada kewajipan jihad ta’lim ini dapat dirujuk kepada satu firman Allah iaitu: “Dan tidak sepatutnya orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak diantara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya(yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat menjaga diri dari melakukan larangan Allah”.(At-Taubah: 122)
Ukuran kejayaan dalam jihad ta’lim ialah apabila seseorang berjaya menyampaikan keilmuan Islam yang sempurna kepada setiap muslim serta dapat memberikan tarbiyyah Islamiyyah yang sebenar, betul lagi sempurna. Mengenai apakah dia keilmuan Islam yang sempurna, Sa’id Hawwa menyebut lagi bahawa ia adalah pengajian al-Kitab dan as-Sunnah sepertimana firman Allah: “Sebagaimana kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu al- Kitab dan hikmah.”(Surah al-Baqarah: 151)[7]

3.      Jihad Politik (Siyasi)Jihad Politik Di Dalam Negara Islam Yang Adil
Kita wajib mentaati kerajaan ini dengan ikhlas, menasihati, mempertahankan dan berkorban jiwa dan raga serta menjaganya dengan bersungguh-sungguh. SabdaRasulullah SAW: “Agama itu nasihat”. Kami bertanya: “untuk siapa ya Rasulullah?”. Bagindamenjawab: “untuk Allah, KitabNya, rasulNya, pemimpin-pemimpin orang Islam danorang awam mereka” (Riwayat Muslim, Abu Dawud dan Nasa’i dari Tamim al-Dari, Tarmizi danNasa’i dari Abi Hurairah) Allah berfirman:“...taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil- Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”. (An-Nisa’: 59). Jihad Politik di dalam Negara Islam yang Menyeleweng
Kita wajib menasihati dan membetulkannya seperti hadis Rasulullah yang sering kita dengar iaitu: “Sesungguhnya sebesar-besar jihad ialah memperkatakan satu kalimah yang adil dihadapan pemerintah yang zalim”. (Riwayat Abu dawud dan Ibnu majah dari Abi Sa’id al-Khudri secara “marfu”)[8]

4.      Jihad Mal
Harta dapat memperkuatkan peralatan perjuangan. Pengorbanan jiwa pada umumnya diperlukan hanya waktu peperangan, sedangkan pengorbanan harta diperlukan baik dalam keadaan perang mahupun keadaan damai.

5.      Jihad Nafsu.
Jihad nafs atau jihad melawan nafs(diri sendiri) merupakan jihad yang paling besar. Para ulama sepakat bahawa nafs dan jihad melawan syaithan adalaha jihad yang besar, sedangkan jihad melawan musuh yang nyata adalah jihad yang kecil.

6.      Jihad bin-Nafs.
Jihad bin-nafs adalah berjuang menegakkan agama dengan mempertaruhkan nyawa. Jihad jenis ini erat hubungannya dengan al-qital (peperangan). Apabila keamanan orang terancam, kebebasan beragama tidak dilindungi yang akan menghancurkan kekuatan Islam maka setiap orang Islam diwajibkan ikut serta mempertahankan kepentingan Islam.[9]


JIHAD MASA KINI : Jihad Dalam Menuntut Ilmu Sebagai Mahasiswa Islam


            Jihad yang perlu kita laksanakan dalam masyarakat moden ini haruslah mempunyai strategi bagi memperkuatkan ilmu pengetahuan, kekuatan ekonomi dan fizikal umat, dan day tahan yang kukuh untuk menghadapi segala macam cabaran dan permusuhan yang kita hadapi. Para belia dan pelajar kita seharusnya melipatgandakan usaha dan kerja mereka berjihad untuk mempertingkatkan pencapaian dan mutu ilmu pengetahuan agar dapat bersaing dan mengatasi golongan lain secara sihat. Kemelut kemasukan ke institusi pengajian tinggi yang melanda masyarakat Islam kini seharusnya menjadi pendorong untuk kita terus berjihad dalam erti kata yang sebenar iaitu mencapai kecemerlangan dalam segala disiplin ilmu pengetahuan. Ketika itu barulah kita dapat berbangga bahawa kita dapat menghayati semangat jihad sebenar yang dituntut agama, bukan jihad dalam bentuk serangan sesama sendiri, sama ada menggunakan senjata atau lidah yang tidak bertulang[10]
Pembangkitan kembali umat Islam haruslah berakar pada belia di pusat-pusat pengajian tinggi, kerana dunia Islam telah menyerah kalah kepada pemikiran Barat setelah merengkok secara langsung beberapa lama di bawah penindasan mereka. Sistem pendidikan adalah berasaskan sistem yang diterima dari dunia Barat. Dasar penjajahan Barat adalah keunggulan sains dan teknologinya dan ini bermula di pusat-pusat pengajian tinggi. Beberapa abad yang lampau, umat Islam adalah pelopor kemajuan dan tamadun manusia yang paling tinggi. Universiti-universiti Islam diilhamkan oleh semangat Islam untuk mencari dan menyelidiki ilmu sehabis-habisnya dan untuk mengatasi segala halangan dan rintangan dalam rangka mensyukuri nikmat Allah. Penyelidik-penyelidik didorong oleh suatu aqidah, yang sejak mula, menghargai akal manusia dan mendorong manusia untuk menyelidiki apa saja kebiasaan lama. Al-Quran mengancam mereka yang berkata ‘kita mengikut datuk nenek saja’
“ Dan apabila dikatakan kepada mereka: Turutlah apa-apa yang diturunkan oleh Allah, mereka menjawab: ‘Hanya kami hendak menurut apa yang dilakukan oleh datuk nenek kami’. Apakah mereka mahu menurut, walaupun datuk nenek mereka tidak mengerti sesuatu pun dan tidak terpimpin di jalan yang lurus?” (Surah al-Baqarah : ayat 120)
            Ilmu dicari sebagai ibadah kepada Allah dan pencarian ilmu berakar umbi dari keimanan mereka kerana dalam segala hal mereka hendak memahami dengan tepat dan benar ayat-ayat Allah dan memikirkan apa ertinya dalam kehidupan manusia. Kerana ini mereka mengembangkan penyelidikan yang menuju kepada penemuan-penemuan dalam ilmu-ilmu biologi, kimia, fizik, falak, geografi dan segala-galanya.
            Tujuan dari pencarian ilmu adalah supaya manusia dapat mencari kehendak Allah SWT serta mencari bagaimana manusia dapat taat dan patuh kepada kehendakNya dan mencari keredhaanNya. Tujuan dari sarjana Islam dulu dalam pencarian ilmu ialah supaya mereka dapat mengabdikan kehidupannya dalam menemui tujuan-tujuan untuk apa mereka diciptakan oleh Allah yang Maha Mulia. Aturan memperingatkan manusia bahawa mereka yang tidak mempunyai ilmu tidak sejajar dengan mereka yang mempunyai ilmu dan bahawa hanya mereka yang berilmu yang takut akan Allah. Angkatan kitalah yang mesti sanggup memikul amanah yang berat untuk menerima, memelihara, mempertahankan dan memperluaskan warisan tamadun yang kita terima dari datuk nenek kita dengan penuh kemampuan dan kesanggupan. Perlu kita menyedari bahawa kekalnya sesuatu angkatan Islam adalah bergantung atas usaha untuk memindahkan tamadun Islam dalam bentuk hidayah ketuhanan yang kita warisi dari nenek moyang kita yang mulia ini. Sudah pasti bahawa setiap orang Islam tidak akan kekal, tetapi umat Islam boleh kekal sepanjang zaman, dengan syarat ada kemampuan yang diperlukan dalam setiap peringkat masa untuk memindahkan tamadun yang diwarisi kepada kita angkatan kini dan yang akan datang.[11]
            Berjihad dalam ilmu pengetahuan atau berjihad sebagai mahasiswa universiti diibaratkan sebagai perjuangan umat Islam masa kini, bolehlah dikatakan bahawa ia seolah-olah seorang yang mendaki bukit. Bukit itu mempunyai dua puncak. Puncak pertama agak rendah sedikit sedangkan puncak kedua adalah puncak yang paling tinggi dan puncak inilah yang menjadi maksud terakhir bagi orang itu. Setelah beberapa lama berjalan dalam keadaan letih dan lelah, maka sampailah dia ke puncak yang pertama. Dia boleh beristirehat di puncak pertama ini sejenak waktu kerana terlalu penat dan lelah. Akan tetapi orang itu tidak lupa bahawa tujuannya bukan hanya untuk mendaki sampai ke puncak ini, kerana maksudnya yang asal ialah mendaki ke puncak yang paling tinggi itu. Begitulah, mahu tidak mahu orang itu harus berangkat lagi mendaki ke puncak yang kedua. Maka begitulah dengan kaum Muslimin yang berjuang semenjak saat pertama. Mereka boleh beristirehat sekejap setelah  mencapai beberapa kemajuan, akan tetapi mereka tidak boleh lupa bahawa tujuan mereka adalah untuk sampai kepuncak kedua yang lebih tinggi daripada puncak pertama. Ini dapat dijayakan secara menjalankan hukum Allah di dalam negara mereka.
            Maka, sebagai seorang mahasiswa atau penuntut ilmu perlulah mengatur kembali sifat-sifat untuk menuju kepada cita-cita yang terakhir tadi untuk melaksanakan perintah Allah dalam segala lapangan. Kita perlu menyusun barisan untuk terus berjalan dan berangkat ke arah cita-cita terakhir. Walaupun tujuan kita masih jauh, umat Islam boleh beristirehat untuk sementara waktu, akan tetapi tidak boleh terlalu lama kerana musuh-musuh kita akan mengambil kesempatan dalam perjuangan hidup ini.[12]
            Sebagai mahasiswa yang juga merupakan umat Islam belum lagi terlambat dan memang sekarang adalah masanya untuk meneruskan perjuangan kedua ini. Kalau anda sebagai bakal pemimpin masa depan tidak mengambil peluang keemasan ini, maka pastinya nanti akan menyesal kerana mereka yang benci akan peraturan Allah SWT ini, telah lebih dahulu merebut peluang yang berguna ini. Kalau kita mengakui bahawa ‘Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya nabi Muhammad pesuruh itu Rasulullah’, ini bererti kita mesti memikul tanggungjawab dan akibatnya. Islam didesak dari berbagai sudut. Dengan ini adalah penting cerdik pandai Islam membela agamanya dan bersedia berkorban untuk melaksanakan perintah Allah SWT. Dakwah sekarang nampaknya lahir begitu giat kerana kesedaran umat Islam untuk mempertahankan diri  di peringkat menyelamatkan hidup mereka pada masa akan datang. Dengan lain perkataan, peringkat survival umat Islam. Anda semua sebagai cerdik pandai memainkan peranan yang penting dalam mempertahankan umat dari ancaman-ancaman dalam berbagai-bagai bentuk ideologi yang merosakkan dan membinasakan umat Islam seperti Kapitalisma, sosialisma dan berbagai-bagai fahaman yang cuba masuk ke dalam masyarakat Islam sekarang.
            Dimana-mana sahaja kita mungkin menghadapi ujian apatah lagi bagi belia muda seperti mahasiswa yang masih mentah.  Bukan sahaja ujian biasa malah ujian iman juga yang kebanyakkannya datang secara mengejut bersapa dengan kita. Kerana tidak ada seorang manusia pun yang terhindar dari kemungkinan menghadapi ujian ini, baik ujian yang bersifat penderitaan mahupun ujian yang bersifat kesenangan. Firman Allah SWT : “Sesungguhnya Allah telah menguji orang-orang sebelum kamu, hingga Allah mengetahui siapa yang benar-benar beriman dan siapa yang Cuma berbohong belaka.” (Surah al-Ankabut ayat 2)
            Di waktu gembira, anda sebagai Muslim harus bersyukur dan di waktu menderita pula harus bersabar. Jangan susah, kalau kita benar-benar berimankan Allah, ia pasti akan membantu kita dalam menyelesaikan segala persoalan. Ramai oran-orang sekarang menghadapi apa yang dikatakan stress atau tekanan jiwa dan perasaan dalam kehidupannya sehari-hari. Islam melatih kita supaya mendekati Allah dan mendakit rasa yang hampir kepada Ilahi dengan begitu dekat. Dengan menyedari yang Allah itu ada dan selalu dekat denga kita, maka jiwa yang tadinya gelisah akan dapat ditenteramkan. Di universiti mahasiswa sekalian menghadapi banyak persoalan, tetapi dengan mendalami dan berpegang teguh dengan Islam  dapat membantu persoalan-persoalan itu biarpun persoalan mengenai berbagai hal. Islam memberikan jalan bagi kita untuk mencapai kebahagiaan dan sistem itu paling jelas digambarkan oleh Imam Ghazali: “Sembahyang bukan hanya sebagai suatu kewajipan, tetapi suatu sumber kegembiraan, kesenangan dan kepuasan.”[13]
            Sebagai seorang mahasiswa Islam, anda juga perlu menjadi penyeru yang telah memiliki akhlak yang baik dan tahu alat-alat yang diperlukan untuk mencipta suatu suasana yang memberi kebahagian kepada umat manusia. Anda mesti bergembira menjadi seorang Islam dan bergembira serta rela memikul tanggugjawab yang dipertanggungjawabkan sebagai seorang mukalaf di muka bumi ini. Kita selalu bercakap mengenai falsafah yang tinggi dalam Islam tetapi tidak nampak bahawa kita memperolehi kebahagian dari Islam. Kalau kita merenung hidup ini, tahulah kita mengapa hidup ini penuh liku-liku kepahitan. Jadi, ada baiknya juga kalau manusia itu kadang-kadang menderita, susah dan sebagainya supaya mereka tidak lupa daratan. Siapa tahu kalau kehidupan yang selalu seronok kelak terus membawa manusia lupakan Tuhan. Ini terserahlah kepada manusia sendiri sama ada ingin menjadi baik atau buruk.
            Mahasiswa-mahasiswa yang mempunyai kesedaran keislaman mesti bangun dan menentang segala gerakan anti-Tuhan dan fahaman kebendaan yang bergerak untuk mengaburi mata atau meragu-ragukan aqidah Islam serta melemahkan orang-orang yang beriman kepada Tuhan.  Gerakan ini mesti ditentang demi menjaga hidup matinya keperibadian Islam di muka bumi ini. Jika seseorang mahasiswa berhasrat untuk menegakkan kembali umat Islam ini di atas nilai-nilai akhlak Islam, anda hendaklah berusaha mulai sekarang juga dan insha Allah akan berjaya akhirnya. Asas pembentukannya ialah akidah islam yang seterusnya berdasarkan tauhid, kerasulan dan percayakan hari Akhirat. Benih-benih akidah yang telah berakar umbi di bumi Islam sejak beberapa lama dahulu jika disirami dengan sedikit air, pasti akan berubah dan tumbuh subur. Sebagai seorang mahasiswa anda juga mempunyai tanggungjawab menyebarkan dakwah Islam serta belajar demi masa depan sendiri, agama dan negara. Anda juga seharusnya mengetahui bahawa alam ini tidak terjadi dengan sendirinya melainkan dengan kehendak Allah. Kita manusia hanya sekadar berusaha mudah-mudahan berjaya dengan izinNya.[14]
            Setiap mahasiswa perlulah menjadi golongan yang pantas, kuat dan mempunyai cita-cita yang tinggi dan bersemangat. Cita-cita yang tinggi ini boleh dicapai kiranya ia dilaksanakan dengan iman dan norma-norma akhlak yang tinggi  jika ditambah pula dengan rasa tanggungjawab sebagai hamba Allah maka cukup dijadikan teras untuk berkorban dan selangkah ke alam jihad. Kesemua ini wujud serentak semasa seseorang itu masih dalam golongan belia. Oleh itu selalu diucapkan bahawa belia adalah teras kebangkitan umat kerana zamannya dianggap sebagai jambatan penghubung antara dua daratan. Masa mudanya akan menentukan masa tuannya kerana setiap belia mempunyai kekuatan untuk memainkan peranan penting bagi membangun dan memajukan sebuah masyarakat. Merekalah yang sering tampil ke barisan hadapan bagi mempertahankan atau memperjuangkan yang hak. Kalau mereka berakidah dan berakhlak, mereka akan mendapat pertolongan Tuhan.
            Jelas kepada kita setia belia atau mahasiswa mempunyai tanggungjawab yang sangat besar. Bagi mengembalikan maruah dan keperibadian muslim tanggugjawabnya adalah terletak di atas bahu belia atau mahasiswa yang bertauhid dan berakhlak mulia. Kiranya tanggungjawab ini telah disedari oleh masyarakat maka perlu bagi belia memeriksa kembali alat atau sumber yang telah ditanam atau bekalan yang telah disediakan bagi mencapai matlamatnya.
            Bekalan yang perlu dimiliki oleh mahasiswa ialah takwa. Mereka yang yakin adanya Tuhan menurut hakikatNya ialah mereka yang mempunyai hubungan langsung denganNya dan mereka yang berjuang untuk menegakkan kalimahNya. Mereka inilah yang akan memperolehi pertolongan dari TuhanNya. Oleh itu sudah sampai masanya bagi para mahasiswa untuk mengembalikan amalan agamanya kedalam seluruh hidupnya. Sebalinya para mahasiswa hendaklah menjauhkan diri daripada sifat-sifat yang buruk sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah.[15]


KESIMPULAN
            Jihad seharusnya difahami dan direalisasikan oleh angkatan umat Islam ini, terutamanya dalam menghadapi arus globalisasi dan penindasan baru yang amat kuat melanda masyarakat dan negara-negara Islam sekarang. Kita kini seolah-olah berada pada pusingan pertama ketika baginda Rasulullah SAW memulakan perjuangan di Makkah, iaitu yang menuntut jihad untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan, jihad untuk menghapuskan kemunduran dan kemiskinan, jihad untuk mendidik dan mengajar umat supaya menjadi umat yang dinamik, kuat mental dan fizikalNya.






[1] Sidek Baba, 2010. Dari jendela islam. Dewan bahasa dan pustaka : Kuala Lumpur. Ms 98.
[2] Drs.H.Ibrahim Lubis, 1982. Agama Islam Suatu Pengatar, Ghalia Indonesia : Jakarta. Cetakan 1, ms 437.
[3] Datuk Seri Panglima Dr. Abdul hamid Othman, 2000, Islam Perjuangan dan Harapan, Yayasan Pendidikan Islam : Selangor, Ms.38.
[4] A.G. Noorani, 2007, Islam Dan Jihad Prasangka atau Kenyataan, Pts Publications : Kuala Lumpur, cetakan 2, ms 40.
[5] Taufiq Ali Wahbah, 1985, Jihad Dalam Islam, Penerbit Media Dakwah : Jakarta, cetakan 1, ms 95.
[6] Abu Bakar Jabir El-Jazari, 1991, Pola Hidup Muslim (Minhajul Muslim Mu’amalah), PT remaja Rosdakarya : Bandung, Ms 1-2.
[7] Koleksi Kertas Kerja & Artikel IlmiahBELFAST 2004 ©
 1981
[8] Koleksi Kertas Kerja & Artikel IlmiahBELFAST 2004 ©
 1981
[9] Drs. Boedi Abdullah, 1980, Taktis Jihad Dalam Islam, Bandung : PT Alma’arif, cetakan 1, ms 26-29.
[10] Ismail Ibrahim, 2004, Isu Islam Semasa, Utusan Publications : Kuala Lumpur, cetakan 1, ms 90.
[11] Fadlullah Wilmot, 1981, Keindahan Islam, Penerbitan Adabi Sdn Bhd : Kuala Lumpur, cetakan 1, ms 65-68
[12] Fadlullah Wilmot, 1981, Keindahan Islam, Penerbitan Adabi Sdn Bhd : Kuala Lumpur, cetakan 1, ms 65-69
[13] Ibid ms 70-72.
[14] Ibid ms 72-78
[15] Ibid ms 80-81.


RUJUKAN


1.      Abu Bakar Jabir El-Jazari, (1991). Pola Hidup Muslim (Minhajul Muslim Mu’amalah). PT remaja Rosdakarya : Bandung

2.      A.G. Noorani,(2007). Islam Dan Jihad Prasangka atau Kenyataan. Pts Publications : Kuala Lumpur.


3.      Datuk Seri Panglima Dr. Abdul hamid Othman, (2000). Islam Perjuangan dan Harapan. Yayasan Pendidikan Islam : Selangor.

4.      Drs. Boedi Abdullah, (1980). Taktis Jihad Dalam Islam. PT Alma’arif : Bandung. Cetakan 1.


5.      Drs.H.Ibrahim Lubis, (1982). Agama Islam Suatu Pengatar. Ghalia Indonesia : Jakarta. Cetakan 1.

6.      Fadlullah Wilmot, (1981). Keindahan Islam. Penerbitan Adabi Sdn Bhd : Kuala Lumpur. Cetakan 1.


7.      Ismail Ibrahim, (2004). Isu Islam Semasa. Utusan Publications : Kuala Lumpur.

8.      Koleksi Kertas Kerja & Artikel IlmiahBELFAST 2004 ©1981


9.      Sidek Baba, (2010). Dari Jendela Islam. Dewan Bahasa Dan Pustaka : Kuala Lumpur.

10.  Taufiq Ali Wahbah, (1985). Jihad Dalam Islam. Penerbit Media Dakwah : Jakarta. cetakan 1.