PENDAHULUAN : Konsep Jihad
Konsep jihad harus diberi makna yang lebih
luas supaya konotasi jihad tidak dilihat secara negatif dan sempit. Jihad dalam
bahasa yang mudah bermaksud perjuangan dan pengorbanan. Memperjuangkan sesuatu
yang baik, berfaedah dan bermanfaat dikatakan jihad. Berkorban tenaga, masa,
pemikiran, dan wang ringgit juga dikatakan jihad. Memperkasakan ilmu umat islam
adalah jihad. Melibatkan diri dalam usaha niaga dan korporat secara berkesan
adalah jihad. Dan tentunya jihad mengawal (jihad al-Nafs) adalah jihad yang
lebih besar.[1]
Jihad juga di ertikan sebagai peperangan
maksudnya peperangan terhadap orang kafir yang dipandang musuh, kerana membela
agama Allah SWT. Maksud peperangan disini ialah untuk menangkis serangan dan
menghentikan kezaliman serta keaniyaan. Jika musuh sudah berhenti dan tidak
memfitnah, atau memaksa-maksa, maka peperangan di hentikan. Jihad ini ialah
masalah keamanan, ketertiban masyarakat dalam negeri ataupun luar negeri.[2]
Selama ini ramai yang menganggap bahawa jihad
itu hanyalah “peperangan bersenjata antara orang islam dengan bukan orang islam
bagi menegakkan ajaran Islam” sahaja. Sedangkan erti jihad yang sebenar adalah
lebih luas dari itu iaitu termasuklah apa jua usaha yang dijalankan secara
bersungguh-sungguh untuk memastikan agama islam sentiasa berada di tempatnya
yang mulia dan suci dan umatnya sentiasa beroleh kebahagiaan dan kejayaan di
dunia dan di akhirat.[3]
JIHAD PALING BESAR, JIHAD KECIL
Jihad paling besar ialah perjuangan menentang
kecenderungan lahirirah seseorang. Manusia mempunyai suatu sifat yang sama
dengan binatang, iaitu jika dibiarkan bebas manusia akan menjadi makhluk yang
paling merbahaya. Mengawal kehendak
(nafsu) manusia inilah yang dikatakan jihad.
Jihad
kecil pula ialah berjuang bagi pihak masyarakat untuk mempertahankan mereka
adalah tanggungjawab umat Islam apabila mereka diserang. Jihad ini lebih
menjurus kepada jihad peperangan.[4]
WANITA DAN JIHAD
Jihad
dalam Islam tidak terbatas kepada kaum lelaki sahaja, tetapi dibebankan juga
kepada kaum wanita sesuai dengan kemampuan dan kudrat kewanitaannya. Islam
tidak mewajibkan kepada wanita untuk berjihad seperti memikul senjata, kerana
ada faktor-faktor kewanitaannya yang dapat menghalangi untuk melakukan jihad
bersenjata dengan sempurna. Meskipun kenyataannya sedemikian, sejarah telah
mencatatkan tentang wanita-wanita muslimat yang turut berperang secara nyata
memanggul senjata sebagai mujahadah dan bertempur di medan peperangan.[5]
HUKUM JIHAD :
Jihad
dalam erti khusus, iaitu memerangi orang-orang kafir dan orang-orang yang
memerangi (agama/negeri) islam. Hukum jihad adalah fardhu kifayah, iaitu
apabila sudah ada sebahagian orang yang melaksanakannya, maka sebahagian
lainnya terbebas dari kewajiban tersebut, sebagaimana firman Allah SWT yang
bermaksud : “tidak sepatutnya seluruh orang beriman itu pergi dari tiap-tiap
golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan agama
dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya ketika mereka telah kembali
kepadanya.... (At-Taubah : 122).
Jihad
akan menjadi fardhu ain bagi orang yang disuruh oleh seorang imam. Hal ini
berdasarkan sabda Rasulallah SAW yang bermaksud : “Apabila (seorang imam)
meminta kalian pergi (ke medan perang), maka pergilah kalian.” (H.R.
Mutafaq alaih). Begitu juga, apabila musuh menyerang (negeri islam) dengan
tiba-tiba, maka seluruh penduduk negeri tersebut, bahkan wanita pun, wajib
mempertahankannya dan memerangi musuh.[6]
JENIS-JENIS JIHAD:
1. Jihad Dengan Lisan.
Kandungan pertama sekali dalam jihad
lisan ialah menyampaikan Islam dengan hujjah kepada orang-orang kafir, munafiq
dan fasiq. Firman Allah Taala: “Dan berjihadlah terhadap mereka dengan
Al-Quran dengan jihad yang besar.” (Surah Al-Furqan:ayat 52)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sampaikanlah
daripada aku walaupun satu ayat.”
Kedua-dua nas ini menunjukkan kepada jihad ke
atas orang musyrikin dengan lisan dan orang-orang yang menyeleweng dari segi
perbuatan mereka yang mencanggahi perintah Allah.
Termasuk di dalam jihad lisan ialah memberi
nasihat dan memberi peringatan. Kedudukan ini sesuai dengan firman Allah Taala
iaitu: Yang bermaksud: “Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya
peringatan itubermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”(Surah Al-Dhariyat:
Ayat 55).
2. Jihad Pendidikan (Ta’limi)
Jihad ta’lim pula ialah berusaha
bersungguh-sungguh mengajar, memberi ilmu dan mendidik orang-orang yang mahu menghayati
Islam. Dalil kepada kewajipan jihad ta’lim ini dapat dirujuk kepada satu firman
Allah iaitu: “Dan tidak sepatutnya orang-orang yang beriman keluar semuanya
(pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap
puak diantara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara
mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar
kaumnya(yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka;
mudah-mudahan mereka dapat menjaga diri dari melakukan larangan Allah”.(At-Taubah:
122)
Ukuran kejayaan dalam jihad ta’lim ialah apabila
seseorang berjaya menyampaikan keilmuan Islam yang sempurna kepada setiap
muslim serta dapat memberikan tarbiyyah Islamiyyah yang sebenar, betul lagi
sempurna. Mengenai apakah dia keilmuan Islam yang sempurna, Sa’id Hawwa
menyebut lagi bahawa ia adalah pengajian al-Kitab dan as-Sunnah sepertimana
firman Allah: “Sebagaimana kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu
yang membacakan ayat-ayat Kami dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu al-
Kitab dan hikmah.”(Surah al-Baqarah: 151)[7]
3. Jihad Politik (Siyasi)Jihad Politik Di Dalam Negara Islam Yang Adil
Kita wajib mentaati kerajaan ini dengan
ikhlas, menasihati, mempertahankan dan berkorban jiwa dan raga serta menjaganya
dengan bersungguh-sungguh. SabdaRasulullah SAW: “Agama itu nasihat”. Kami bertanya:
“untuk siapa ya Rasulullah?”. Bagindamenjawab: “untuk Allah, KitabNya,
rasulNya, pemimpin-pemimpin orang Islam danorang awam mereka” (Riwayat
Muslim, Abu Dawud dan Nasa’i dari Tamim al-Dari, Tarmizi danNasa’i dari Abi
Hurairah) Allah berfirman:“...taatlah kamu kepada Allah dan taatlah
kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil- Amri" (orang-orang yang
berkuasa) dari kalangan kamu”. (An-Nisa’: 59). Jihad Politik di dalam
Negara Islam yang Menyeleweng
Kita wajib menasihati dan membetulkannya
seperti hadis Rasulullah yang sering kita dengar iaitu: “Sesungguhnya
sebesar-besar jihad ialah memperkatakan satu kalimah yang adil dihadapan
pemerintah yang zalim”. (Riwayat Abu dawud dan Ibnu majah dari Abi Sa’id
al-Khudri secara “marfu”)[8]
4. Jihad Mal
Harta dapat memperkuatkan peralatan
perjuangan. Pengorbanan jiwa pada umumnya diperlukan hanya waktu peperangan,
sedangkan pengorbanan harta diperlukan baik dalam keadaan perang mahupun
keadaan damai.
5. Jihad Nafsu.
Jihad nafs atau jihad melawan nafs(diri sendiri)
merupakan jihad yang paling besar. Para ulama sepakat bahawa nafs dan jihad
melawan syaithan adalaha jihad yang besar, sedangkan jihad melawan musuh yang
nyata adalah jihad yang kecil.
6. Jihad bin-Nafs.
Jihad bin-nafs adalah berjuang menegakkan
agama dengan mempertaruhkan nyawa. Jihad jenis ini erat hubungannya dengan
al-qital (peperangan). Apabila keamanan orang terancam, kebebasan beragama
tidak dilindungi yang akan menghancurkan kekuatan Islam maka setiap orang Islam
diwajibkan ikut serta mempertahankan kepentingan Islam.[9]
JIHAD MASA KINI : Jihad Dalam Menuntut Ilmu Sebagai
Mahasiswa Islam
Jihad
yang perlu kita laksanakan dalam masyarakat moden ini haruslah mempunyai
strategi bagi memperkuatkan ilmu pengetahuan, kekuatan ekonomi dan fizikal
umat, dan day tahan yang kukuh untuk menghadapi segala macam cabaran dan
permusuhan yang kita hadapi. Para belia dan pelajar kita seharusnya
melipatgandakan usaha dan kerja mereka berjihad untuk mempertingkatkan
pencapaian dan mutu ilmu pengetahuan agar dapat bersaing dan mengatasi golongan
lain secara sihat. Kemelut kemasukan ke institusi pengajian tinggi yang melanda
masyarakat Islam kini seharusnya menjadi pendorong untuk kita terus berjihad
dalam erti kata yang sebenar iaitu mencapai kecemerlangan dalam segala disiplin
ilmu pengetahuan. Ketika itu barulah kita dapat berbangga bahawa kita dapat
menghayati semangat jihad sebenar yang dituntut agama, bukan jihad dalam bentuk
serangan sesama sendiri, sama ada menggunakan senjata atau lidah yang tidak
bertulang[10]
Pembangkitan kembali umat Islam haruslah
berakar pada belia di pusat-pusat pengajian tinggi, kerana dunia Islam telah
menyerah kalah kepada pemikiran Barat setelah merengkok secara langsung
beberapa lama di bawah penindasan mereka. Sistem pendidikan adalah berasaskan
sistem yang diterima dari dunia Barat. Dasar penjajahan Barat adalah keunggulan
sains dan teknologinya dan ini bermula di pusat-pusat pengajian tinggi.
Beberapa abad yang lampau, umat Islam adalah pelopor kemajuan dan tamadun
manusia yang paling tinggi. Universiti-universiti Islam diilhamkan oleh
semangat Islam untuk mencari dan menyelidiki ilmu sehabis-habisnya dan untuk
mengatasi segala halangan dan rintangan dalam rangka mensyukuri nikmat Allah.
Penyelidik-penyelidik didorong oleh suatu aqidah, yang sejak mula, menghargai
akal manusia dan mendorong manusia untuk menyelidiki apa saja kebiasaan lama.
Al-Quran mengancam mereka yang berkata ‘kita mengikut datuk nenek saja’
“ Dan apabila dikatakan kepada mereka:
Turutlah apa-apa yang diturunkan oleh Allah, mereka menjawab: ‘Hanya kami
hendak menurut apa yang dilakukan oleh datuk nenek kami’. Apakah mereka mahu
menurut, walaupun datuk nenek mereka tidak mengerti sesuatu pun dan tidak
terpimpin di jalan yang lurus?” (Surah al-Baqarah : ayat 120)
Ilmu
dicari sebagai ibadah kepada Allah dan pencarian ilmu berakar umbi dari
keimanan mereka kerana dalam segala hal mereka hendak memahami dengan tepat dan
benar ayat-ayat Allah dan memikirkan apa ertinya dalam kehidupan manusia.
Kerana ini mereka mengembangkan penyelidikan yang menuju kepada
penemuan-penemuan dalam ilmu-ilmu biologi, kimia, fizik, falak, geografi dan
segala-galanya.
Tujuan
dari pencarian ilmu adalah supaya manusia dapat mencari kehendak Allah SWT
serta mencari bagaimana manusia dapat taat dan patuh kepada kehendakNya dan
mencari keredhaanNya. Tujuan dari sarjana Islam dulu dalam pencarian ilmu ialah
supaya mereka dapat mengabdikan kehidupannya dalam menemui tujuan-tujuan untuk
apa mereka diciptakan oleh Allah yang Maha Mulia. Aturan memperingatkan manusia
bahawa mereka yang tidak mempunyai ilmu tidak sejajar dengan mereka yang
mempunyai ilmu dan bahawa hanya mereka yang berilmu yang takut akan Allah. Angkatan
kitalah yang mesti sanggup memikul amanah yang berat untuk menerima,
memelihara, mempertahankan dan memperluaskan warisan tamadun yang kita terima
dari datuk nenek kita dengan penuh kemampuan dan kesanggupan. Perlu kita
menyedari bahawa kekalnya sesuatu angkatan Islam adalah bergantung atas usaha
untuk memindahkan tamadun Islam dalam bentuk hidayah ketuhanan yang kita warisi
dari nenek moyang kita yang mulia ini. Sudah pasti bahawa setiap orang Islam
tidak akan kekal, tetapi umat Islam boleh kekal sepanjang zaman, dengan syarat
ada kemampuan yang diperlukan dalam setiap peringkat masa untuk memindahkan
tamadun yang diwarisi kepada kita angkatan kini dan yang akan datang.[11]
Berjihad
dalam ilmu pengetahuan atau berjihad sebagai mahasiswa universiti diibaratkan
sebagai perjuangan umat Islam masa kini, bolehlah dikatakan bahawa ia
seolah-olah seorang yang mendaki bukit. Bukit itu mempunyai dua puncak. Puncak
pertama agak rendah sedikit sedangkan puncak kedua adalah puncak yang paling
tinggi dan puncak inilah yang menjadi maksud terakhir bagi orang itu. Setelah
beberapa lama berjalan dalam keadaan letih dan lelah, maka sampailah dia ke
puncak yang pertama. Dia boleh beristirehat di puncak pertama ini sejenak waktu
kerana terlalu penat dan lelah. Akan tetapi orang itu tidak lupa bahawa
tujuannya bukan hanya untuk mendaki sampai ke puncak ini, kerana maksudnya yang
asal ialah mendaki ke puncak yang paling tinggi itu. Begitulah, mahu tidak mahu
orang itu harus berangkat lagi mendaki ke puncak yang kedua. Maka begitulah
dengan kaum Muslimin yang berjuang semenjak saat pertama. Mereka boleh
beristirehat sekejap setelah mencapai
beberapa kemajuan, akan tetapi mereka tidak boleh lupa bahawa tujuan mereka
adalah untuk sampai kepuncak kedua yang lebih tinggi daripada puncak pertama.
Ini dapat dijayakan secara menjalankan hukum Allah di dalam negara mereka.
Maka,
sebagai seorang mahasiswa atau penuntut ilmu perlulah mengatur kembali
sifat-sifat untuk menuju kepada cita-cita yang terakhir tadi untuk melaksanakan
perintah Allah dalam segala lapangan. Kita perlu menyusun barisan untuk terus
berjalan dan berangkat ke arah cita-cita terakhir. Walaupun tujuan kita masih
jauh, umat Islam boleh beristirehat untuk sementara waktu, akan tetapi tidak
boleh terlalu lama kerana musuh-musuh kita akan mengambil kesempatan dalam
perjuangan hidup ini.[12]
Sebagai
mahasiswa yang juga merupakan umat Islam belum lagi terlambat dan memang
sekarang adalah masanya untuk meneruskan perjuangan kedua ini. Kalau anda
sebagai bakal pemimpin masa depan tidak mengambil peluang keemasan ini, maka
pastinya nanti akan menyesal kerana mereka yang benci akan peraturan Allah SWT
ini, telah lebih dahulu merebut peluang yang berguna ini. Kalau kita mengakui
bahawa ‘Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya nabi Muhammad
pesuruh itu Rasulullah’, ini bererti kita mesti memikul tanggungjawab dan
akibatnya. Islam didesak dari berbagai sudut. Dengan ini adalah penting cerdik
pandai Islam membela agamanya dan bersedia berkorban untuk melaksanakan
perintah Allah SWT. Dakwah sekarang nampaknya lahir begitu giat kerana
kesedaran umat Islam untuk mempertahankan diri
di peringkat menyelamatkan hidup mereka pada masa akan datang. Dengan
lain perkataan, peringkat survival umat Islam. Anda semua sebagai cerdik pandai
memainkan peranan yang penting dalam mempertahankan umat dari ancaman-ancaman
dalam berbagai-bagai bentuk ideologi yang merosakkan dan membinasakan umat
Islam seperti Kapitalisma, sosialisma dan berbagai-bagai fahaman yang cuba
masuk ke dalam masyarakat Islam sekarang.
Dimana-mana
sahaja kita mungkin menghadapi ujian apatah lagi bagi belia muda seperti
mahasiswa yang masih mentah. Bukan
sahaja ujian biasa malah ujian iman juga yang kebanyakkannya datang secara
mengejut bersapa dengan kita. Kerana tidak ada seorang manusia pun yang
terhindar dari kemungkinan menghadapi ujian ini, baik ujian yang bersifat
penderitaan mahupun ujian yang bersifat kesenangan. Firman Allah SWT : “Sesungguhnya
Allah telah menguji orang-orang sebelum kamu, hingga Allah mengetahui siapa
yang benar-benar beriman dan siapa yang Cuma berbohong belaka.” (Surah
al-Ankabut ayat 2)
Di
waktu gembira, anda sebagai Muslim harus bersyukur dan di waktu menderita pula
harus bersabar. Jangan susah, kalau kita benar-benar berimankan Allah, ia pasti
akan membantu kita dalam menyelesaikan segala persoalan. Ramai oran-orang
sekarang menghadapi apa yang dikatakan stress atau tekanan jiwa dan perasaan
dalam kehidupannya sehari-hari. Islam melatih kita supaya mendekati Allah dan
mendakit rasa yang hampir kepada Ilahi dengan begitu dekat. Dengan menyedari
yang Allah itu ada dan selalu dekat denga kita, maka jiwa yang tadinya gelisah
akan dapat ditenteramkan. Di universiti mahasiswa sekalian menghadapi banyak
persoalan, tetapi dengan mendalami dan berpegang teguh dengan Islam dapat membantu persoalan-persoalan itu
biarpun persoalan mengenai berbagai hal. Islam memberikan jalan bagi kita untuk
mencapai kebahagiaan dan sistem itu paling jelas digambarkan oleh Imam Ghazali:
“Sembahyang bukan hanya sebagai suatu kewajipan, tetapi suatu sumber
kegembiraan, kesenangan dan kepuasan.”[13]
Sebagai
seorang mahasiswa Islam, anda juga perlu menjadi penyeru yang telah memiliki
akhlak yang baik dan tahu alat-alat yang diperlukan untuk mencipta suatu
suasana yang memberi kebahagian kepada umat manusia. Anda mesti bergembira
menjadi seorang Islam dan bergembira serta rela memikul tanggugjawab yang
dipertanggungjawabkan sebagai seorang mukalaf di muka bumi ini. Kita selalu
bercakap mengenai falsafah yang tinggi dalam Islam tetapi tidak nampak bahawa
kita memperolehi kebahagian dari Islam. Kalau kita merenung hidup ini, tahulah
kita mengapa hidup ini penuh liku-liku kepahitan. Jadi, ada baiknya juga kalau
manusia itu kadang-kadang menderita, susah dan sebagainya supaya mereka tidak
lupa daratan. Siapa tahu kalau kehidupan yang selalu seronok kelak terus
membawa manusia lupakan Tuhan. Ini terserahlah kepada manusia sendiri sama ada
ingin menjadi baik atau buruk.
Mahasiswa-mahasiswa
yang mempunyai kesedaran keislaman mesti bangun dan menentang segala gerakan
anti-Tuhan dan fahaman kebendaan yang bergerak untuk mengaburi mata atau
meragu-ragukan aqidah Islam serta melemahkan orang-orang yang beriman kepada
Tuhan. Gerakan ini mesti ditentang demi
menjaga hidup matinya keperibadian Islam di muka bumi ini. Jika seseorang
mahasiswa berhasrat untuk menegakkan kembali umat Islam ini di atas nilai-nilai
akhlak Islam, anda hendaklah berusaha mulai sekarang juga dan insha Allah akan
berjaya akhirnya. Asas pembentukannya ialah akidah islam yang seterusnya
berdasarkan tauhid, kerasulan dan percayakan hari Akhirat. Benih-benih akidah
yang telah berakar umbi di bumi Islam sejak beberapa lama dahulu jika disirami
dengan sedikit air, pasti akan berubah dan tumbuh subur. Sebagai seorang
mahasiswa anda juga mempunyai tanggungjawab menyebarkan dakwah Islam serta
belajar demi masa depan sendiri, agama dan negara. Anda juga seharusnya
mengetahui bahawa alam ini tidak terjadi dengan sendirinya melainkan dengan
kehendak Allah. Kita manusia hanya sekadar berusaha mudah-mudahan berjaya
dengan izinNya.[14]
Setiap
mahasiswa perlulah menjadi golongan yang pantas, kuat dan mempunyai cita-cita
yang tinggi dan bersemangat. Cita-cita yang tinggi ini boleh dicapai kiranya ia
dilaksanakan dengan iman dan norma-norma akhlak yang tinggi jika ditambah pula dengan rasa tanggungjawab
sebagai hamba Allah maka cukup dijadikan teras untuk berkorban dan selangkah ke
alam jihad. Kesemua ini wujud serentak semasa seseorang itu masih dalam
golongan belia. Oleh itu selalu diucapkan bahawa belia adalah teras kebangkitan
umat kerana zamannya dianggap sebagai jambatan penghubung antara dua daratan.
Masa mudanya akan menentukan masa tuannya kerana setiap belia mempunyai
kekuatan untuk memainkan peranan penting bagi membangun dan memajukan sebuah
masyarakat. Merekalah yang sering tampil ke barisan hadapan bagi mempertahankan
atau memperjuangkan yang hak. Kalau mereka berakidah dan berakhlak, mereka akan
mendapat pertolongan Tuhan.
Jelas
kepada kita setia belia atau mahasiswa mempunyai tanggungjawab yang sangat
besar. Bagi mengembalikan maruah dan keperibadian muslim tanggugjawabnya adalah
terletak di atas bahu belia atau mahasiswa yang bertauhid dan berakhlak mulia.
Kiranya tanggungjawab ini telah disedari oleh masyarakat maka perlu bagi belia memeriksa
kembali alat atau sumber yang telah ditanam atau bekalan yang telah disediakan
bagi mencapai matlamatnya.
Bekalan
yang perlu dimiliki oleh mahasiswa ialah takwa. Mereka yang yakin adanya Tuhan
menurut hakikatNya ialah mereka yang mempunyai hubungan langsung denganNya dan
mereka yang berjuang untuk menegakkan kalimahNya. Mereka inilah yang akan
memperolehi pertolongan dari TuhanNya. Oleh itu sudah sampai masanya bagi para
mahasiswa untuk mengembalikan amalan agamanya kedalam seluruh hidupnya. Sebalinya
para mahasiswa hendaklah menjauhkan diri daripada sifat-sifat yang buruk
sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah.[15]
KESIMPULAN
Jihad
seharusnya difahami dan direalisasikan oleh angkatan umat Islam ini,
terutamanya dalam menghadapi arus globalisasi dan penindasan baru yang amat
kuat melanda masyarakat dan negara-negara Islam sekarang. Kita kini seolah-olah
berada pada pusingan pertama ketika baginda Rasulullah SAW memulakan perjuangan
di Makkah, iaitu yang menuntut jihad untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan,
jihad untuk menghapuskan kemunduran dan kemiskinan, jihad untuk mendidik dan
mengajar umat supaya menjadi umat yang dinamik, kuat mental dan fizikalNya.
[1]
Sidek Baba, 2010. Dari jendela islam. Dewan bahasa dan pustaka : Kuala
Lumpur. Ms 98.
[2]
Drs.H.Ibrahim Lubis, 1982. Agama Islam Suatu Pengatar, Ghalia Indonesia
: Jakarta. Cetakan 1, ms 437.
[3]
Datuk Seri Panglima Dr. Abdul hamid Othman, 2000, Islam Perjuangan dan Harapan,
Yayasan Pendidikan Islam : Selangor, Ms.38.
[4]
A.G. Noorani, 2007, Islam Dan Jihad Prasangka atau Kenyataan, Pts Publications
: Kuala Lumpur, cetakan 2, ms 40.
[5]
Taufiq Ali Wahbah, 1985, Jihad Dalam Islam, Penerbit Media Dakwah : Jakarta,
cetakan 1, ms 95.
[6]
Abu Bakar Jabir El-Jazari, 1991, Pola Hidup Muslim (Minhajul Muslim
Mu’amalah), PT remaja Rosdakarya : Bandung, Ms 1-2.
[7]
Koleksi Kertas Kerja & Artikel IlmiahBELFAST 2004 ©
1981
[8]
Koleksi Kertas Kerja & Artikel IlmiahBELFAST 2004 ©
1981
[9]
Drs. Boedi Abdullah, 1980, Taktis Jihad Dalam Islam, Bandung : PT Alma’arif,
cetakan 1, ms 26-29.
[10] Ismail
Ibrahim, 2004, Isu Islam Semasa, Utusan Publications : Kuala Lumpur, cetakan 1,
ms 90.
[11] Fadlullah
Wilmot, 1981, Keindahan Islam, Penerbitan Adabi Sdn Bhd : Kuala Lumpur, cetakan
1, ms 65-68
[12] Fadlullah
Wilmot, 1981, Keindahan Islam, Penerbitan Adabi Sdn Bhd : Kuala Lumpur, cetakan
1, ms 65-69
[13]
Ibid ms 70-72.
[14]
Ibid ms 72-78
[15]
Ibid ms 80-81.
RUJUKAN
1. Abu Bakar Jabir El-Jazari, (1991). Pola Hidup Muslim (Minhajul Muslim
Mu’amalah). PT remaja Rosdakarya : Bandung
2. A.G. Noorani,(2007). Islam Dan Jihad Prasangka atau Kenyataan. Pts
Publications : Kuala Lumpur.
3. Datuk Seri Panglima Dr. Abdul hamid Othman, (2000). Islam Perjuangan dan
Harapan. Yayasan Pendidikan Islam : Selangor.
4. Drs. Boedi Abdullah, (1980). Taktis Jihad Dalam Islam. PT Alma’arif :
Bandung. Cetakan 1.
5. Drs.H.Ibrahim Lubis, (1982). Agama Islam Suatu Pengatar. Ghalia
Indonesia : Jakarta. Cetakan 1.
6. Fadlullah Wilmot, (1981). Keindahan Islam. Penerbitan Adabi Sdn Bhd
: Kuala Lumpur. Cetakan 1.
7. Ismail Ibrahim, (2004). Isu Islam Semasa. Utusan Publications :
Kuala Lumpur.
8. Koleksi Kertas Kerja & Artikel IlmiahBELFAST 2004 ©1981
9. Sidek Baba, (2010). Dari Jendela Islam. Dewan Bahasa Dan Pustaka :
Kuala Lumpur.
10. Taufiq Ali Wahbah, (1985). Jihad Dalam Islam. Penerbit Media Dakwah
: Jakarta. cetakan 1.
No comments:
Post a Comment