Awak follow kita , kita follow awak balik ! hehe ^_~

Monday, November 5, 2012

Jin Dan Syaitan Boleh Mempengaruhi Kehidupan Manusia.


Tugasan 1 Mabahith Sam'iyyat.


Soalan 4. Jelaskan Pengertian Jin Dan Syaitan Serta Terangkan Apakah Jin Dan Syaitan Boleh Mempengaruhi Kehidupan Manusia.


Pengenalan: 
Jin merupakan alam selain daripada alam manusia dan alam malaikat. Jin dan dan manusia berkongsi pada beberapa sifat akal dan pengetahuan. Dari sudut kemampuan pula, dibezakan pada jalan kebaikan dan kejahatan. Kedua-dua makhluk ini (jin dan manusia) juga turut berbeza pada asal kejadian.


Pengertian Jin

1. Bahasa : Diambil daripada perkataan arab (janna) dan dinamakan jin disebabkan tertutupnya mereka dari pandangan mata (manusia) sebagaimana kata-kata Ibnu Aqil.


2. Istilah (Ilmu Aqidah) :

i- Jin merupakan ruh yang berakal serta mukallaf (dipertanggungjawabkan dengan syariat) seperti manusia. Akan tetapi jin berbeza asal kejadiannya dengan manusia, tertutup melihat mereka dari pandangan manusia dengan rupanya yang sebenar dan mereka berupaya untuk menjelma dengan bentuk yang pelbagai.[1]


ii- Jin merupakan ruh yang diciptakan daripada api yang berupaya untuk menjelma dengan bentuk yang pelbagai. Jin makan serta minum, terdiri daripada lelaki dan perempuan akan tetapi manusia terhalang melihat tabiat mereka. Akan tetapi manusia boleh melihat mereka jika menjelma dalam bentuk yang boleh dilihat seperti anjing dan seumpamanya.[2]


Dalil-Dalil Atas Kewujudan Jin


1. Kewujudan mereka (jin) diakui oleh semua agama :
Berkata Ibnu Taimiyyah di dalam Majmu'ah Fatawa, "Sekalian umat Islam mengakui akan kewujudan jin. Demikian juga orang-orang kafir (paderi-paderi), juga orang-orang musyrikin Arab, orang-orang Kan'an (bangsa Arab di Syam) dan orang-orang Yunani (Greek). Maka ramainya kumpulan-kumpulan ini membuktikan kan kewujudan jin".
Dan Imam Al-Haramain menyatakan, "Sesungguhnya para ulama' pada zaman sahabat dan tabi'in telah bersepakat tentang kewujudan jin dan syaitan dan meminta perlindungan daripada Allah daripada kejahatan mereka (jin dan syaitan). Dan ianya telah menjadi sebhagian daripada urusan agama".[3]


2. Nas-nas Al-Quran Dan Hadis :


Firman Allah Taala dalam surah al-jin ayat 1 yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadamu bahawasanya: Telah mendengar sekumpulan jin (akan Al Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al-Quran yang menakjubkan,".


3. Penglihatan dan penyaksian :
Ramai manusia di zaman kita dan zaman dahulu telah menyaksikan perkara ini. Sebahagian mereka telah melihat dan mendengar (suara) tidak mengetahui yang itu sebenarnya adalah jin, sehingga mereka mendakwa bahawa ianya adalah roh-roh orang mati, orang bunian dan seumpamanya. Dan perkara ini sebenarnya telah dibuktikan dalam hadis-hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W pernah melihat jin, bercakap dengan mereka, mengajar mereka serta membacakan Al-Quran kepada mereka.


Hukum Beriman Dengan Jin :


Menyakini tentang kewujudan jin hukumnya adalah wajib. Sesungguhnya telah datang satu surah daripada surah-surah Al-Quran yang dinamakan dengan surah al-jin pada juzuk ke-29 dengan diceritakan dengan jelas di dalam surah ini akan perihal jin. Oleh yang demikian, dianjurkan kepada kita membaca surah ini beserta dengan tafsirannya. [4]


PENGERTIAN SYAITAN :


Syaitan pada sudut bahasa bererti setiap unsur yang keji yang terdapat pada manusia, jin dan binatang.[5]
Maka disebut makhluk yang ingkar terhadap Tuhannya dengan lafaz syaitan juga thoghut sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah An-Nisa' ayat 76 yang bermaksud:

"Orang-orang yang beriman itu berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir (pula) berperang di jalan thoghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah,".
Dan panggilan ini (syaitan) menjadi kebiasaan untuk merujuk kepada sikap yang buruk dan terkeji dalam diri manusia sebagaimana dinyatakan oleh Al-'Aqad dalam kitabnya yang berjudul Iblis. Dan panggilan thoghut pula bagi merujuk pada orang-orang melampaui batas dan mengingkari perintah Allah S.W.T.[6]


Dalil yang jelas yang menunjukkan bahawa syaitan asalnya daripada jin atau sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Taala:

"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka dia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (dari Allah) bagi orang-orang yang zalim," (Al-Kahfi:50).


Dan Ibnu Taimiyyah Rahimahullah mengatakan, "Bahawasanya syaitan itu berasal daripada jin sebagaimana Adam berasal daripada manusia,".[7]



SIFAT-SIFAT YANG BERKONGSI PADANYA JIN, SYAITAN DAN MANUSIA.


1. Makan dan minum :

Jin juga syaitan makan dan minum. Di dalam Sahih Bukhari daripada Abi Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W pernah menyuruhnya untuk membawa batu untuk melontarnya (jin) dan bersabda kepadanya : "Jangan bawa kepadaku tulang juga najis binatang". Dan tatkala Abu Hurairah bertanya Rasul S.A.W tentang rahsia larangan baginda pada tulang dan najis binatang maka Nabi bersabda : "Kedua-duanya merupakan makanan jin,".
Sesungguhnya Rasulullah telah mengkhabarkan kepada kita bahawasanya syaitan makan dengan tangan kirinya. Maka baginda telah menyuruh kita untuk menyalahinya (makan dengan tangan kanan). Imam Muslim meriwayatkan di dalam sahihnya daripada Ibnu Umar R.A: Bahawa Nabi S.A.W telah bersabda : "Apabila makan seseorang kamu, maka makanlah dengan (tangan) kanannya. Dan apabila minum, maka minumlah dengan (tangan) kanannya. Maka sesungguhnya syaitan itu makan dengan (tangan) kirinya, serta minum dengan (tangan) kirinya,".[8]


2. Berkahwin dan beranak-pinak :

Berkata Dr. Ibrahim Bin Ibrahim Al-Quraibi, "Jelasnya adalah jin itu berkahwin, berpasangan serta beranak-pinak berandarkan kepada asal dan bentuk mereka. Dan ia merupakan sunnah (ketetapan) untuk melengkapkan setiap benda yang hidup atas peraturan 'Sunnah Yang Dijadikan Allah' dan ia telah dijelaskan oleh Al-Quran.".[9]


3. Dipertanggungjawabkan dengan syariat :


Ini jelas disebutkan pada banyak ayat di dalam Al-Quran antaranya :
Firman Allah Taala : "Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku," (Az-Zaariyat:56).



APAKAH JIN DAN SYAITAN BOLEH MEMPENGARUHI KEHIDUPAN MANUSIA?


Jin dan syaitan boleh mempengaruhi kehidupan manusia iaitu  menguasai dan mempengaruhi melalui hati manusia.
            Apabila Syaitan laknatullah mengetahui dan menyedari, pusat operasi terpenting dalam tubuh badan manusia ialah hati, ia berusaha sedaya upaya untuk menguasai pusat ini dengan cara mewujudkan perasaan was-was kepadanya, menghiasi nafsu dan syahwat dan melariskan gerak kerja yang boleh menyelewengkan seseorang dari jalan yang lurus. Tidak cukup dengan teknik ini. Syaitan menguatkannya dengan sumber-sumber lain yang menjadikan manusia jauh dari mendapat taufik daripada Allah S.W.T..  Berbagai jerat dan jaring digunakan Syaitan untuk mempengaruhi manusia. Andaikata manusia terselamat daripada terjebak ke dalam satu jaring, ia tetap tidak dapat mengelakkan diri daripada menempuh halangan lain dalam perjalanan menuju kepada redha Allah.
            Amat jarang manusia yang terselamat daripada tipu daya ini, kecuali mereka yang berterusan mendampingkan diri kepada Allah dan berterusan memohon pertolongan dariNya, melaksanakan perkara-perkara yang mendatangkan keredhaanNya, menumpukan hati kepadaNya dan sentiasa mengingatiNya di setiap gerak dan diam. Begitu juga dengan orang yang melaksanakan tugas ubudiyah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar pengabdian. Firman Allah SWT yang bermaksud: “ Sesungguhnya hamba-hambaku yang ikhlas, tidak akan dapat dipengaruhi oleh mereka (Syaitan).” (Al-Hijr : 42).
            Inilah senjata yang paling ampuh untuk menghalang penguasaan Syaitan dan Jin keatas diri manusia. Apabila hati telah disinari dengan ubudiyyah dan keikhlasan kepada Allah dalam melaksanakan segala titah perintahNya dan dalam menjauhkan diri daripada segala laranganNya, jadilah tuannya sebagai orang yang dekat kedudukannya dengan Allah SWT.  Firman Allah SWT yang bermaksud : “........ Kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas sahaja (tidak dapat dipengaruhi oleh syaitan).” (Al-Hijr : 40).[10]
Hati berdasarkan fitrah semulajadi ciptaan Allah SWT bersedia untuk menerima petunjuk, tetapi oleh kerana ia dibentengi oleh runtunan nafsu syahwat, menjadikan ia menyeleweng dari jalan petunjuk. Hati sentiasa menjadi rebutan antara tentera malaikat yang ditugaskan khas menjaga hati manusia dengan tentera syaitan yang berusaha keras untuk menjajah dan menaklukinya, sehingga hati itu menyerah kepada salah satu daripada dua bala tentera ini. Apabila hati sudah dikuasai dan dijajah oleh mana-mana tentera ini, tentera ini akan menguatkan cengkamannya ke atas hati dan seterusnya membuat penempatan dan membuka pejabat pentadbirannya di sana. Dalam Al-quran dijelaskan, mafhumnya “ Dan dari kejahatan pembisik (syaitan) penghasut yang timbul tenggelam..” (An-Nas : 4).
            Setiap muslim yang mengingati Allah, bala tentera syaitan dan jin akan menjauhinya. Apabila ia lalai dari mengingati Allah SWT, syaitan akan mengambil kesempatan menguasainya. Tentera-tentera syaitan ini tidak dapat dihalau oleh hati kecuali dengan menggunakan zikrullah. Tentera syaitan tidak dapat menetap didalam hati manusia, yang sentiasa berzikir kepada Allah SWT.
            Hati tidak ubah seperti satu benteng yang kukuh. Syaitan pula adalah musuh yang sentiasa berusaha untuk menguasai benteng ini. Oleh itu benteng ini tidak mungkin dapat dipastikan tidak jatuh ke tangan musuh kecuali dengan mengawal ketat ke semua pintu-pintu yang ada. Tidak ada golongan yang dapat mengawal pintu ini, jika ia sendiri tidak mengetahui cara untuk mengawalnya. Sehubungan dengan itu, tidak ada cara untuk menolak gangguan syaitan kecuali dengan mengenalpasti saluran-saluran yang menjadi agen syaitan itu sendiri.[11]
Saluran-saluran dan pintu-pintunya adalah sifat-sifat yang menghiasi diri seorang hamba itu sendiri. Pintu-pintu ini cukup banyak. Apa yang akan disebutkan disini hanya pintu besar sahaja :
1.      Pintu Hasad Dengki dan Rakus.
Apabila seorang hamba Allah SWT begitu rakuskan sesuatu benda, baik berupa harta benda mahupun pangkat kebesaran, kerakusan ini akan membutakan mata hatinya dan membisukannya, seterusnya menutup cahaya mata hatinya dari mengenal jalan-jalan yang mudah dimasuki syaitan. Kerakusan dan ketamakan ini  merangkumi semua aspek seperti tamak untuk medapatkan harta, pangkat kebesaran, nama dan kemasyhuran. Setiap insan baik ulamak , pendakwah, pemerintah, ahli ibadat, tokoh peniagaan mahupun orang awam hendaklah memastikan pintu-pintu ini ditutup rapat dan tidak dibuka sehingga memudahkan syaitan memasukinay. Syaitan akan membuatkan ia memandang baik dan elok segala aktiviti yang boleh menyampaikan hasratanya, walaupun terang-terangan bercanggah dengan ajaran-ajaran al-Quran. Syaitan juga memperlihatkan kepada mangsanya helah-helah supaya mangsanya itu memandang kebajikan yang dilakukan oleh seseorang sebagai keburukan seperti kononnya untuk mendapatkan nama atau menunjuk-nunjuk. Syaitan juga berusaha memujuk mangsa-mangsanya supaya mengenakan khidmat bomoh dan ahli sihir demi menjatuhkan orang yang dibenci.
2.      Pintu marah.

Sifat marah biasanya menghilangkan kewarasan akal seseorang. Apabila tentera akal sudah lemah, syaitan akan menyerang individu terlibat dan mempermainkannya sebagaimana kanak-kanak mempermainkan bola di tangan mereka. Diriwayatkan syaitan laknatullah pernah berkata yang bermaksud : “ apabila seorang hamba itu bersangatan marahnya, kami akan bolak-balikkan hatinya sebagaimana kanak-kanak membolak-balikkan bola ditangan mereka”.[12]


Kesimpulan :
Bagi menghindari dari Syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran, mencegah diri dari berbicara yang berlebihan, memelihara mata, telinga, hati dan segala anggota, membuang amalan-amalan Syaitan seperti ketawa yang berlebihan, berjalan di waktu senja dan yang terakhirnya yang mesti kita lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya Syaitan.










Rujukan :

1.      'Alamul Jin Was Syayathin. 2008M-1429H. Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar. Darun Nafaais : Jordan.
2.      Al-Lubab fi Syarhil Aqidah 'ala Dhuis Sunah Wal Kitab. Cetakan Ketiga 2008M-1429H.  Dr. Ibrahim Bin Ibrahim Al-Quraibi.
3.      Al-'Aqidah Al-Islamiah (1). Cetakan 2009M-1432H. Dr. Ahmad Muhammad Ahmad Al-Jalli, Dr. Ali Bin Al-'Ajami Al-'Asyie dan Dr. Abdul Ghani Haidar Faari'. Darul Kitab Al-Jaami'e, Sana'a.
4.      Al-'Aqaaid Al-Islamiah. Cetakan 2000M-1420H. As-Sayyid Sabiq : Darul Fath Lil I'lamil 'Arabi, Kaherah.
5.      Rawatan Keracunan Hati. 1999. Basri Ibrahim. Kuala Lumpur : Darulnuman.


[1] Al-'Aqaaid Al-Islamiah / As-Sayyid Sabiq / Darul Fath Lil I'lamil 'Arabi, Kaherah / Cetakan 2000M-1420H, ms 115.
[2] . Al-'Aqidah Al-Islamiah (1) / Dr. Ahmad Muhammad Ahmad Al-Jalli, Dr. Ali Bin Al-'Ajami Al-'Asyie dan Dr. Abdul Ghani Haidar Faari' / Darul Kitab Al-Jaami'e, Sana'a / Cetakan 2009M-1432H-, ms. 121.
[3] 'Alamul Jin Was Syayathin / Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar / Darun Nafaais, Jordan / Cetakan 2008M-1429H, ms 18.
[4] Al-'Aqidah Al-Islamiah (1) / Dr. Ahmad Muhammad Ahmad Al-Jalli, Dr. Ali Bin Al-'Ajami Al-'Asyie dan Dr. Abdul Ghani Haidar Faari' / Darul Kitab Al-Jaami'e, Sana'a / Cetakan 2009M-1432H, ms 121.
[5] Al-Qamus Al-Muhith - ms. 1209
[6] Alamul Jin Was Syayathin / Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar / Darun Nafaais, Jordan / Cetakan 2008M-1429H, ms 21.
[7] 'Alamul Jin Was Syayathin / Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar / Darun Nafaais, Jordan / Cetakan 2008M-1429H, ms 23.
[8] 'Alamul Jin Was Syayathin / Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar / Darun Nafaais, Jordan / Cetakan 2008M-1429H, ms 27-28.
[9] Al-Lubab fi Syarhil Aqidah 'ala Dhuis Sunah Wal Kitab / Dr. Ibrahim Bin Ibrahim Al-Quraibi / Sana'a / Cetakan Ketiga 2008M-1429H, ms 511.
[10] Basri Ibrahim, 1999, Rawatan Keracunan Hati, Kuala Lumpur : Darul Nu’man, ms 6-7.
[11] Ibid ms 8-9.
[12] Ibid ms 14.

No comments: