Awak follow kita , kita follow awak balik ! hehe ^_~

Wednesday, December 12, 2012

Tokoh Ulama' Islam (Sayyid Qutb)

Ini merupakan sebahagian daripada assignment saya berkenaan tokoh Syed Qutb. Sengaja saya share kat sini kut2 boleh membantu anda diluar sana ^_^



SYED QUTB





Sayyid Qutb merupakan seorang tokoh pejuang di dalam dunia Islam malah juga dikenali di negara-negara Barat. Beliau telah meninggalkan banyak sejarah tentang kehidupannya bermula daripada kelahirannya sehinggalah beliau meninggal dunia. Semangat juangnya dalam menegakkan Islam dengan mengharungi segala cabaran dan dugaan serta tidak pernah putus asa telah menjadikannya seorang tokoh Islam yang terkemuka.

Sayyid Qutb merupakan salah seorang pemimpin gerakan Ikhwan Al-Muslimin di Mesir. Penulisan beliau banyak berkaitan dengan persoalan pemikiran Islam dan juga akidah Islam. Sayyid Qutb lebih memberi tumpuan kepada pembetulan akidah sebelum pembetulan sistem kerajaan. Idea-idea yang dilontarkan dalam penulisannya amat bernas dan cukup bersemangat untuk membangkitkan pemuda-pemuda Islam bagi gerakan dakwah kepada masyarakat. Sebahagian besar dari hayat beliau banyak dihabiskan dibawah bayangan Al-Quran.

Walau bagaimanapun, perjalanan hidupnya sebagai seorang pejuang Islam tidak pernah aman daripada ancaman pelbagai pihak. Namun begitu, beliau terus yakin dan tabah dalam usaha memperjuangkan agama Islam. Kepada umat Islam pada masa kini harus menjadikan beliau sebagai contoh dan motivasi dalam menghadapi pelbagai cabaran untuk mengukuhkan agama Allah SWT.



BAB 1 : RIWAYAT HIDUP SAYYID QUTB     

            Nama sebenarnya ialah Sayyid Qutb Ibrahim Hussain Syazali. Qutb merupakan gelaran bagi keluarganya. Beliau dilahirkan di sebuah kampung iaitu Mosya di Assyut pada 9 Oktober 1906 sewaktu Mesir berada di bawah pemerintahan tiga kuasa besar yang sering bertelagah iaitu raja-raja dari keturunan Muhammad Ali (1805-1956), penjajah Ingeris (1882-1956) dan Parti al-Wafd (1919-1956).

            Pengalaman hidupnya banyak berkait dengan nilai-nilai barat yang cuba mengetepikan persoalan agama dan ketuhanan. Walau bagaimanapun beliau lahir dalam keluarga yang beriltizam dengan ajaran Islam. Beliau mendapat bimbingan yang lebih bercorak Islam daripada kedua ibu bapanya yang berada dalam suasana Islam di sebuah perkampungan Islam. Bapanya Haji Ibraim Qutb merupakan seorang petani yang patuh kepada pegangan agama dan kuat beribadah. Begitu juga dengan ibunya iaitu Fatimah binti Hussain Uthman.


Latar Belakang Keluarga Sayyid Qutb


Sayyid Qutb berasal dari sebuah desa di Hulu Mesir. Terdapat keterangan bahawa moyangnya berasal dari India. Walau bagaimanapun perkara ini dinafikan oleh adiknya iaitu Muhammad Qutb. Haji Qutb Ibrahim yang merupakan bapanya berasal daripada keluarga berada dan sangat dihormati di desanya. Beliau mewarisi sebilangan harta daripada tanah-tanah pertanian berserta warisan pimpinan keluarga. Begitu juga beliau adalah pemimpin masyarakat di desanya.

             Bapanya ini memiliki sifat-sifat yang mulia. Beliau suka menerima tetamu dan berbelanja untuk anak-anak dan keluarga tanpa rasa kikir. Beliau sebenarnya memiliki  beberapa orang khadam. Mereka adalah fakir miskin di desanya. Sebahagian mereka mempunyai tali persaudaraan yang jauh dan sebahagian lagi adalah jiran-jirannya. Khadamnya ini tidak sampai taraf hamba, tetapi menjadi pembantu keluarganya. Mereka ini sama ada pembantu kerja-kerja di rumah atau pun pembantu kerja-kerja di ladang. Beliau melarang khadam-khadamnya itu menghina diri di hadapannya. Oleh itu, beliau menolak panggilan “Tuan” sebaliknya senang dipanggil “Haji” di kalangan tua dan “Pak Cik Haji” di kalangan muda. Beliau juga memberi layanan baik kepada pekerjanya dan pekerja-pekerja dari jauh yang datang mengambil upah di ladangnya,  makanan yang dihidangkan kepada mereka adalah sama dengan makanan yang dimakan oleh keluarganya.
            Ibu dan bapanya mempunyai lima orang anak, dua lelaki dan tiga perempuan iaitu Sayyid, Muhammad, Nafisah, Aminah, dan Hamidah. Sayyid Qutb menggambarkan ayahnya sebagai seorang yang sangat mencintai Allah SWT. Ibunya, Fatimah binti Hussain Uthman merupakan seorang wanita yang mulia dan sering bersedekah, menyediakan makanan kepada orang-orang yang membaca al-Quran di rumahnya dan kepada orang-orang yang bekerja di ladang mereka. Fatimah menanamkan asas-asas keimanan terhadap anak-anaknya dan beliau mahukan mereka menjadi orang yang taat terhadap perintah Allah SWT. Beliau amat cinta kepada al-Quran dan beliau mahukan anak-anak lelakinya menghafaz al-Quran.


Latar Belakang Pendidikan


            Sayyid Qutb memperoleh pendidikan awalnya dalam suasana dan persekitaran kampung daripada ibu bapanya yang kuat berpegang kepada agama. Beliau mula memasuki sekolah rendah di kampungnya pada tahun 1912 hingga 1918. Keistimewaan yang dimiliki oleh beliau ialah dapat menghafaz al-Quran ketika berusia 10 tahun lagi. Pada masa itu, menjadi suatu  kebiasaan bagi keluarga yang kuat beragama di Mesir menghafaz seluruh al-Quran terutamanya keluarga yang berhasrat menghantar anak mereka belajar di Universiti al-Azhar.
            Malangnya, pada tahun 1919 Sayyid Qutb tidak dapat meneruskan pelajarannya kerana Mesir pada masa itu menghadapi zaman revolusi. Keadaan ini memberi peluang beliau mengkaji pelbagai bidang ilmu. Ibu bapa beliau mempunyai keinginan yang sangat kuat untuk mempunyai anak-anak yang cerdik dan pintar yang mendapat pendidikan yang tinggi. Berikutan itu, keluarga Sayyid Qutb berpindah meninggalkan kampung halaman mereka dan menetap di Helwan, sebuah bandar satelit Kaherah. Oleh kerana beliau dibesarkan dalam suasana kampung yang tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur moden, maka beliau tidak mudah dipengaruhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang terdapat di bandar.
            Sayyid Qutb menyambung kembali pelajarannya di peringkat sekolah menengah di Kaherah iaitu di Tajhiziah Dar al-‘Ulum. Mereka yang diterima masuk belajar hanyalah mereka yang  berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Dar al-‘Ulum (sekarang Universiti Kaherah). Sebagaimana al-Azhar yang merupakan pusat Pendidikan Islam, Dar al-‘Ulum juga merupakan institusi pengajian tinggi dalam bidang Sastera dan Pendidikan.
            Seterusnya, peringkat kedua kehidupan Sayyid Qutb ialah ketika beliau tinggal di Kaherah sehinggalah memasuki alam perkejaan. Beliau berpindah ke Kaherah pada tahun 1921 ketika berumur 14 tahun dan tinggal di Zaitun. Kemudian beliau menyambung pelajaran dengan memasuki Maktab Perguruan Abd al-Aziz bermula dari tahun 1922 sehingga tahun 1925.
            Setelah menamatkan pengajiannya di Maktab Perguruan, Sayyid Qutb meneruskan pengajiannya di Dar al’Ulum pada tahun 1925. Kemudian beliau berjaya memasuki Universiti Dar al-‘Ulum atau sekarang dikenali sebagai Universiti Kaherah pada tahun 1929 dan berjaya menamatkan pengajiannya pada tahun 1933 dengan memiliki Sarjana Muda dalam bidang kesusasteraan (Pendidikan). Sebaik sahaja menamatkan pengajiannya, beliau dilantik menjadi profesor di kolej itu kerana menghargai keilmuannya.



BAB 2 : PERANAN SAYYID QUTB DALAM BIDANG PENULISAN DAN KEILMUAN


Sayyid Qutb bukan sahaja aktif dalam dakwah dan perjuangannya, malahan beliau juga merupakan seorang yang hebat dalam bidang penulisan dan muncul sebagai seorang penulis hebat yang tiada tandingannya. Beliau turut mencipta nama dan menjadi pengulas politik dan sosial yang terkenal, pemikir agung Islam dan pentafsir al-Quran.
Sejak awal lagi, iaitu sebelum penyertaannya dalam Ikhwan Muslimin, pemikiran dan kehidupan Sayyid Qutb melalui beberapa peringkat perubahan. Pada masa itu, Sayyid Qutb memulakan penulisannya dengan menghasilkan buku-buku sejarah dan penulisan untuk bacaan kanak-kanak. Selain itu, satu siri buku yang berkaitan dengan kisah-kisah nabi berjaya diterbitkan bersama-sama rakannya Abd al-Hamid Jaurda Assehar.
Penulisan Sayyid Qutb pada peringkat awal ini mendapat sambutan kerana beliau berjaya menyampaikan cerita-cerita ini dalam bentuk yang menarik. Sifat dan akhlak yang mulia cuba dibajai dalam jiwa kanak-kanak melalui penulisannya agar generasi baru ini sentiasa berpegang teguh dengan contoh teladan dan akhlak yang sempurna seperti yang ditunjukkan oleh para nabi dan wali. Walaupun terdapat penulis lain yang menghasilkan cerita untuk kanak-kanak seperti Kamil Gilani, namun kehebatan yang dimiliki oleh Sayyid Qutb tidak dapat ditandingi. Hal ini terjadi kerana beliau menyampaikan penulisannya dengan begitu unik dengan gaya bahasanya yang mudah, senang, lancar dan mampu menarik perasaan pembaca. Pada masa yang sama Sayyid Qutb turut menulis sajak dan puisi Islam.
Seterusnya kegiatan penulisan yang diceburinya berkembang dengan baik. Bidang ini pun mula berkembang dan berubah, walaupun pada hakikatnya pada masa itu usianya masih muda remaja. Karyanya yang pertama diterbitkan iaitu Asywak (duri-duri) mengisahkan tentang kasih sayang mutlak yang berakhir dengan sebuah tragedi. Pembaca kisah ini akan dapat merasakan mereka berada bersama-sama seorang insan yang berperibadi mulia dan mempunyai akhlak yang luar biasa indahnya.
Penulisan Sayyid Qutb tidak terhenti di situ malahan beliau terus menghasilkan dua buah buku lagi dalam bentuk cereka. Karya tersebut ialah Tift min al-Qaryah ( Anak Dari Desa)  dan al-Madinah al-Mashurah (Kota Kerahmatan). Dalam karyanya yang pertama, Sayyid Qutb menceritakan kehidupannya semasa masih di alam kanak-kanak dan keadaan persekitaran beliau pada masa itu. Dalam karyanya itu Sayyid Qutb cuba menukilkan kesederhanaan dan ketulenan hidup di desa sepertimana yang telah beliau lalui sebelum ini.
Nostalgia dan kenangan-kenangan indah mahupun pahit turut dinukilkan buat tatapan para pembaca. Pada masa Sayyid Qutb menghasilkan karya ini beliau lebih dikenali kerana beliau dikatakan sekumpulan dengan Taha Hussain iaitu seorang penulis yang tidak asing lagi di Mesir. Sayyid Qutb banyak terpengaruh dengan gaya penulisan Taha Hussain yang menarik. Karyanya ini dikatakan mirip kepada karya Taha Hussian al-Ayyam. Bahkan Sayyid Qutb menulis suatu dedikasi khas kepada Taha Hussain dengan menyebutkan:
“Diharap dia dapat mengganggap isi buku ini sebagai beberapa hari daripada cerita al-Ayyam.”
Karya yang seterusnya al-Madinah al-Mashurah pula merupakan sebuah karya kesusasteraan yang memaparkan keindahan istana zaman lampau. Sepanjang hayatnya, Sayyid Qutb hanya menghasilkan tiga buah karya kesusasteraan seumpama ini. Sebuah buku yang unik pada zamannya telah dihimpunkan oleh empat orang keluarga Qutb iaitu Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, Hamidah Qutb dan Aminah Qutb lalu diberi tajuk al-Atyaf al-Arba’ah. Setiap orang daripada empat ahli keluarga Qutb ini memaparkan tema yang menyentuh aspek-aspek kehidupan manusia seperti cinta kepada kemanusiaan, berkhidmat untuk kemanusiaan, cinta terhadap manusia dan pengorbanan demi kemanusiaan.

Selain itu, Sayyid Qutb juga turut memperkembangkan minatnya terhadap sajak dan puisi kesusasteraan dan kewartawanan sewaktu masih menuntut lagi. Zaman mahasiswanya di Universiti Kaherah dan kemudian zaman pembelajarannya selepas itu banyak membantu Sayyid Qutb mengembangkan penguasaan kesusasteraannya. Pada waktu ini  beliau juga membina hubungan dan bergaul dengan tokoh-tokoh kesusasteraan dan penulis-penulis di sekitar Kaherah.
Pada peringkat awalnya beliau bergaul rapat dengan Taha Hussain. Kebolehannya berkembang dan akhirnya seiring dengan Abbas Mahmud al-Aqqad dalam dunia kesusasteraan. Persaingan berlaku antara Mustafa Sadiq al-Rafi’i, Taha Hussain dan al-Aqqad. Mustafa ialah Jaliz (penyair) pada abad ke-20. Gaya penulisannya dan kekuatan bahasa menyerupai bahasa al-Quran tetapi jauh sekali menandinginya.
Selain itu, keindahan, ketulenan dan kehebatan bahasa Arab yang digayakan oleh al-Rafi’i dengan kefahaman dan penjiwaan yang mendalam terhadap al-Quran melayakkanya menerima sanjungan sebagai ‘penulis bergaya al-Quran’. Taha Hussain dan al-Aqqad kelihatan kerdil jika dibandingkan dengan al-Rafi’i. Dalam persaingan antara al-Rafi’i dan al-Aqqad, Sayyid Qutb lebih mirip kepada al-Aqqad. Walaupun hal ini tidaklah begitu wajar, namun kelebihannya ialah penulisan Sayyid Qutb lebih mendekati keajaiban kitab Allah SWT. Al-Aqqad telah belajar dan megkaji al-Quran untuk mendalami keindahan bahasa dan unsur-unsur kejiwaan yang akan dimuatkan dalam karya-karya kesusasteraannya.
Manakala Sayyid Qutb pula di dalam pengkajiannya memperoleh petunjuk daripada Allah SWT bagi mendalami ilmu dan hikmah. Inilah hasil daripada keikhlasan dan kesungguhannya mencari kebenaran, iaitu al-Quran megurniakan perbendaharaan kesusasteraan berserta petunjuk Ilahi yang semakin bertunjang kukuh dalam jiwanya.  Peranan beliau dalam bidang ini bermula sewaktu beliau menuntut di tahun ketiga Dar al-Ulum di mana beliau telah menghasilkan satu kajian mengenai kesusasteraan. Kajian tersebut diseminarkan dan diterbitkan dalam bentuk buku yang bertajuk Muhimmah al-Sya’ir fi al-Halah wa Syu’ara al-Jail al-Jadid. Dalam bidang penulisan ini, Sayyid Qutb tidak memerlukan masa yang panjang untuk meletakkan namanya setaraf dengan ‘Abbas Mahmud ‘Aqqad Mustafa Sadiq al-Rafi’I dan Taha Husain. Tulisan–tulisannya dimuatkan bersama di dalam akhbar dan majalah yang memuatkan tulisan para penulis besar tersebut.

Peranan Sayyid Qutb mengenai kesenian dan kesusasteraan pada tahap ini adalah satu kenyataan. Sebagaimana yang telah di rangkapkan di dalam syair beliau yang berbunyi :
“ kita atau penghidupan di persada bumi
Bagai bayangan
Dan khayalan bersambung ke satu khayalan.
Melalui kewujudan yang tak berkesudahan
Menuju keluputan.
Bagai kesan-kesan jejak di permukaan pasir
Menunggu keluputan.
Tiap sesuatu menunggu keluputan.”
Sebenarnya terdapat dua faktor yang membentuk sikap dan pemikiran Sayyid Qutb pada ketika itu. Pertama adalah tekanan hidup yang dihadapinya di kota kosmopolitan Kaherah dan faktor yang keduanya pula pengaruh peribadi ‘Aqqad yang kuat ke atasnya serta berfahaman sosialis.
Dari aspek lain, yang mendorong beliau untuk mengembangkan ilmunya  apabila beliau telah menjadi seorang pengarang dan sasterawan bermula daripada kesempitan hidup, terutama apabila tanggungjawab menjadi semakin besar terhadap keluarga berpindah kepadanya. Disebabkan ilmunya yang banyak dalam pelbagai bidang, beliau banyak membantu orang-orang yang memerlukan bantuan  daripadanya.


Kecenderungan Terhadap Puisi


            Minat dan kecenderungan Sayyid Qutb bukan sahaja terhadap penulisan ilmiah tetapi juga turut meliputi bidang puisi dan sajak. Ini terbukti apabila tiga buah koleksi sajaknya telah berjaya diterbitkan. Minat kecenderungan ini dapat dikesan sejak awal penglibatannya dalam bidang penulisan. Minat dan kecenderungan beliau semakin bertambah apabila mula bergaul dengan para penyair dan penyajak terkemuka. Sajak-sajak yang dihasilkan meliputi pelbagai bentuk kecuali eulogy yang tidak pernah diterokainya.
            Sajak yang berbentuk sedemikian dikatakan tidak searah dengan jiwa dan fitrah kecenderungannya. Sayyid Qutb tidak menggemari perbuatan menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah walaupun koleksi sulungnya Qafilah ar-Raqiq telah berjaya diterbitkan, namun Sayyid Qutb dikatakan tidak berpuas hati dengan koleksinya itu. Pada akhir hayatnya, Sayyid Qutb mengganggap sajaknya sebagai saki baki zaman jahiliahnya sendiri.
            Oleh itu, Sayyid Qutb sangat berharap setiap naskhah koleksi sajaknya itu boleh diperolehnya kembali supaya beliau dapat mengubah segala maknanya yang tersurat dari segi imaginasi, tema, tujuan dan matlamat. Sajak yang dikarang oleh beliau pada akhir hayatnya adalah antara sajak yang paling baik dan amat berkesan.


Bidang Kewartawanan


            Tidak dapat dinafikan bahawa jiwa Sayyid Qutb tidak dapat lari daripada terpengaruh dengan persekitaran kewartawanan walaupun beliau hanya berada dalam dunia penulisan. Hal ini terjadi kerana kedua-dua bidang ini saling berkait rapat. Pada masa itu imperialisme British sedang mencengkam kukuh bumi Mesir. Pada masa yang sama juga pihak British dan golongan Pasha membiarkan penindasan berlaku dengan berleluasa dalam pelbagai bentuk, manakala golongan petani dan birokrat ditindas dalam setiap aspek kehidupan mereka.
            Hal ini menimbulkan kesedaran Sayyid Qutb untuk mengambil alih tugas sebagai editor jurnal bulanan al-‘Alam al-‘Arabiy (dunia arab) sehinggalah berjaya menghasilkan jurnal bulanannya sendiri yang dinamakan oleh beliau sebagai al-Fikr al-Jadid (fikiran-fikiran baru). Lebih bertuah lagi apabila pembiayaan bagi menghasilkan jurnal ini ditaja oleh seorang pemilik gedung buku di Mesir iaitu Muhammad Hilmi al-Manyavi. Jurnal yang dihasilkan oleh Sayyid Qutb ini menggambarkan bahawa beliau seorang yang cenderung ke arah sosiolisme pengaruh daripada persekitaran di Mesir pada waktu itu. Dalam jurnal ini, Sayyid Qutb telah membuat kritikan-kritikan ke atas feudalisme secara berterusan. Selain itu, Sayyid Qutb telah mengkritik dan mencabar golongan pasha dan golongan imperialisme walaupun institusi-institusi feudalisme ini bertunjang kukuh dalam masyarakat.
Golongan pasha pada waktu itu mencapai tahap kemuncak, di samping sistem kapitalisme yang juga kuat mencengkami negara cuba dihadapi oleh Sayyid Qutb dengan penuh hikmah melalui penulisan jurnal beliau melalui sosialisme. Namun sosialisme yang disebarkan oleh al-Fikr al-Jadid berbeza dengan sosialisme mengikut fahaman oleh barat yang tidak menitikberatkan aspek agama dan ketuhanan. Sosialisme yang ditonjolkan oleh Sayyid Qutb merupakan sosialisme yang menentang keras sistem kapitalisme dan feudalisme dengan menggunakan kekuatan Islam. Hal ini selaras dengan ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa pengumpulan dan pelonggokan harta serta sistem monopoli adalah haram. Apa yang sewajarnya dilakukan ialah mengajak rakyat ke arah sistem ekonomi Islam yang berterusan al-Quran.
            Melalui cara ini umat manusia dapat membina kehidupan atas dasar keadilan dan kebenaran. Manakala bagi golongan miskin dan kurang berkemampuan sudah pasti mereka akan bebas daripada penindasan, cengkaman serta kezaliman golongan yang lebih berkuasa kerana Islam sama sekali melarang sebarang bentuk kezaliman dan penindasan terhadap masyarakat.


 BAB 3 : SUMBANGAN SAYYID QUTB DALAM PERKEMBANGAN TAMADUN SASTERA ISLAM


Sarjana pertama yang menyumbang ke arah perkembangan tamadun Sastera Islam adalah Sayyid Qutb iaitu dengan idea-idea kritikan dan definisi yang menjadi batu asas sehingga ke hari ini. Dalam Sastera Islam, sumbangan beliau boleh dibahagikan kepada dua bidang utama. Pertama, kemunculan idea untuk menjana perbincangan mengenai gambaran Islam dalam mencari identiti Sastera Islam. Kedua, paparan definisi Sastera Islam yang menjadi batu asas dalam perkembangan Sastera Islam Moden. 


Sumbangan Idea-idea Kritikan


Sayyid Qutb memberi sumbangan dalam idea-idea kritikan beliau dengan jelas boleh dilihat berdasarkan pandangannya terhadap gambaran Islam mengenai Allah SWT, alam, kehidupan dan manusia. Antara yang dibincangkan adalah perkara-perkara yang berhubung dengan Islam dengan lebih jelas. Selain itu, beliau turut mentafsirkan gambaran Islam dalam bacaan yang lebih realistik, sepertimana tulisannya iaitu Tafsir fi Zilal al-Quran.
Dalam buku Kritikan Sastera, beliau membincangkan idea serta pandangannya mengenai Sastera Islam. Antaranya ialah, sastera atau seni yang lahir daripada gambaran Islam berkaitan dengan kehidupan menunjukkan bahawa tidak banyak menggambarkan kelemahan manusia, dan pendedahannya juga tidak meluas dan menyeluruh. Menurut beliau, Islam tidak menolak seni tetapi tidak boleh menerima beberapa gambaran salah yang diberikan oleh seni itu. Sepatutnya, seni sastera lebih menunjukkan kehidupan masyarakat mengikut pandangan Islam  yang telus dan menyeluruh. Dalam buku Ciri-ciri Gambaran Islam, beliau membincangkan tujuh ciri antaranya ialah ketuhanan, kemantapan, keseluruhan, keseimbangan, positif, realiti dan tauhid. Buku ini adalah satu cara untuk mengenal pasti ciri-ciri gambaran Islam dan nilai-nilai yang menggambarkan sistem realiti kehidupan serta dasar pemikiran seni yang boleh diambil daripada gambaran telus dan menyeluruh yang berkaitan dengan kehidupan.
Tunggak utama yang membawa dan melahirkan ciri-ciri yang lain adalah ciri ketuhanan. Segala gambaran kehidupan yang diberikan oleh sasterawan hendaklah mempunyai ciri-ciri ketuhanan ini bagi menjelaskan bahawa alam dan manusia dicipta oleh Allah SWT. Segala yang ada di dalam alam ini serta kehidupan manusia akan kembali kepada Allah SWT. Sayyid Qutb membincangkan pengertian manusia dalam gambaran Islam serta hubungannya dengan alam dan Penciptanya.
Beliau juga menyatakan bahawa gambaran Islam yang mempunyai ciri kemantapan tidak akan sesat dan menyesatkan orang lain. Sasterawan boleh memberikan gambaran yang bebas, tetapi hendaklah berasaskan kepada paksi ketuhanan dalam apa-apa jua keadaan. Bagi menjelaskan ciri ini, beliau menyatakan hakikat yang perlu dicapai seperti berikut:
                        i.            Hakikat kewujudan Allah s.w.t
                      ii.            Hakikat alam ciptaan Allah s.w.t
                    iii.            Hakikat keabadian hanya untuk Allah s.w.t
                    iv.            Hakikat keimanan syarat penerimaan amalan
                      v.            Hakikat Islam adalah agama Allah s.w.t
                    vi.            Hakikat keutamaan manusia daripada semua makhluk


Sumbangan Definisi Sastera Islam Moden


Sayyid Qutb adalah seorang tokoh pelopor yang terkenal dalam bidang Sastera Islam. Beliau turut memberi sumbangan definisi yang menjadi batu asas kepada perkembangan tamadun Sastera Islam dan Sarjana Arab pertama yang mengemukakan definisi bagi Sastera Islam. Beliau  juga dilantik menjadi ketua pengarang majalah Ikhwan Muslimin. Ini lebih bermakna lagi apabila beliau sendiri yang mengelolakan ruangan sastera dalam majalah tersebut. Di sini beliau juga cuba mengemukakan ideanya tentang definisi Sastera Islam. Kelahiran penulisannya itu memberi kesan positif kepada perkembangan tamadun Sastera Islam Moden yang mula diperkatakan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada sarjana sastera khususnya mereka yang mempunyai kesedaran Islam. 
Pada peringkat awal, beliau cuba mendefinisikan Sastera Islam dengan ungkapannya : Ungkapan tentang pergolakan atau dorongan perasaan dalam bentuk yang boleh memberi inspirasi. Kemudian, beliau cuba menghuraikan lagi definisi tersebut dengan lebih jelas melalui kata-katanya : Ungkapan inspirasi tentang nilai-nilai dinamik yang bergolak dengan perasaan sasterawan yang terpancar daripadanya gambaran khusus tentang kehidupan dan hubungannya antara manusia dengan alam dan hubungan sesama manusia. Definisi yang dikemukakan oleh beliau tidak bertentangan antara satu sama lain dan definisi yang kedua adalah huraian bagi definisi yang pertama yang bersifat lebih umum.


Karya-karya Penulisan Sayyid Qutb


Semasa hayatnya, lebih dua puluh buah karya telah dihasilkan olehnya. Antara karya Sayyid Qutb adalah meliputi pelbagai bidang seperti sastera, pendidikan, politik, ekonomi, kemasyarakatan, falsafah dan keagamaan.
Antara buku kesusasteraannya ialah :
1.      Muhimmah al-Sya’ir fi al-Hayah
2.      Al-Taswir al-Fanni fi al-Quran
3.      Masyahid al-Qiyamah fi al-Quran
4.      Al-Naqd al-‘Arabi - Usuluhu wa Manahijuhu
5.      Naqd Kitab Mustaqbal al-Thaqafah fi Misr
Buku memorinya ialah :
1.      Tifl min Qaryah
2.      Al-Atyaf al-Arba’ah
3.      Asywak
4.      Al-Madinah al-Mashurah
Buku-buku pendidikan dan pelajarannya ialah :
1.      Al-Qisas al-Dinny
2.      Al-Jadid fi al-Lughat al-‘Arabiyyah
3.      Al-Jadid fi al-Mahfuzat
4.      Rawdah al-Atfal
Himpunan buku kemasyarakatan, ekonomi dan Islam ialah :
1.      Al-‘Adalah al-Ijtima’iyyah fi al-Islam
2.      Ma’rakah Islam wa ‘I-Ra’s al-Maliyyah
3.      Al-Salam al-‘Alami wa ‘I-Islam
4.      Nahwa Mujtama’ Islami
5.      Fi Zilal al-Quran
6.      Khasa’is al-Tasawwur al-Islamiyy
7.      Al-Islam wa Musykilah al-Hadarah
8.      Dirasat Islamiyyah
9.      Hadha al-Din
10.  Al-Mustaqbal li hadha al-Din
11.  Ma’alim fi al-Tariq
Selain daripada judul yang dicatatkan di atas, terdapat lebih tiga puluh judul karyanya yang tidak dibukukan. Kebanyakan karya tersebut adalah rencana yang bercorak kritikan serta ulasanya terhadap karya-karya daripada penulis yang lain. Secara umumnya zaman penulisan beliau dapat dibahagikan kepada zaman sebelum menyertai Ikhwan dan zaman selepas menyertainya.
Zaman penulisan buku-buku ini juga berkait rapat dengan peringkat-peringkat kehidupan peribadinya. Bagaimanapun,secara umumnya zaman penulisan ini dapat dibahagikan kepada zaman sebelum menyertai Ikhwan dan zaman sesudah menyertainya.
            Memang jelas Sayyid Qutb pada tahun-tahun sebelum 1940-an lebih cenderung menumpukan penulisannya hanya kepada seni sastera semata-mata tanpa menghubungkannya dengan roh agama. Hal ini dapat dilihat kepada buku-bukunya seperti Muhimmah al-Sya’ir fi al-Hayah(1993) ,dan Naqd Mustaqbal al-Thaqafah fi Misr(1939).
 Pada dekad 1940-an setelah mengalami kesedaran kembali kepada Islam, kecenderungannya kepada seni sastera masih kuat, tetapi beliau cuba memasukkkan unsur baru iaitu roh Islam. Hal ini dapat dilihat dari buku-buku al-Taswir al-Fanni fi al-Quran (1945), dan Mayahid al-Qiyamah fi al-Quran (1947).
            Menjelang akhir dekad 1940-an, Sayyid Qutb menjadi lebih serius dalam kehidupannnya. Menjelang penyertaannya dalam Ikhwan (1951), beliau telah menghasilkan sebuah buku berupa kajian kemasyarakatan dan perbandingannya dengan system Islam iaitu al-‘Adalah al-Ijtima’iyyah fi al-Islam yang diterbitkan pada tahun 1949. Selepas menganggotai Ikhwan, beliau telah diamanahkan mengetuai Lujnah Da’wah yang bertanggungjawab menyebarkan idea Ikhwan. Oleh itu, beliau berusaha menghasilkan beberapa buah buku berasaskan fikrah Islam seperti Ma’rakah ’I-Islam wa ’l-Ra’s al-Maliyyah (1951) , al-Salam al-‘Alami wa  ’l-Islam (1951) ,Fi Zilal al-Qur’an (1952) dan Dirasat Islamiyyah (1953).
            Selepas beliau dipenjarakan pada tahun 1954 sehingga dihukum mati pada tahun 1966, beliau menghasilkan buku-buku Hadha al-Din, al-Mustaqbal li hadha al-Din, Khaza’is al-Tasawwur al-Islamiyy wa Muqawwimatihi, al-Islam wa Musyakilah al-Hadarah, Fi Zilal al-Qur’an  cetakan kedua dan Ma’lim fi al-Tariq. Buku yang terakhir ini telah menjadi bahan bukti tuduhan terhadapnya bahawa beliau mengkafirkan pemerintah dan menganggap masyarakat yang menyokong pemerintahan tersebut sebagai Jahiliyyah. Oleh itu, beliau dikatakan menyeru umat Islam supaya menggulingkan pemerintah. Berdasarkan tuduhan inilah beliau dijatuhi hukuman mati.
            Berdasarkan ulasan ‘Adil  Hamudah mengenai sebab-sebab hukuman yang dikenakan  ke atas Sayyid Qutb, bahawa Sayyid Qutb mengutarakan persoalan Uluhiyyah dan Hakimiyyah di dalam Tauhid umat Islam. Persoalan-persoalan yang diutarakan oleh Sayyid Qutbini menurut beliau seperti mana juga tuduhan yang dibuat oleh rejim Gamal ‘Abdul Nasir, ialah perbuatan mengkafirkan orang Islam. Perbuatan seperti ini menurut mereka adalah satu perbuatan jenayah yang dapat membawa huru-hara kepada masyarakat. Lebih jelas lagi, pernyataan-pernyataan Sayyid Qutb di dalam Ma’lim fi al-Tariq dan Fi Zilal al-Quran mengenai hak-hak Allah dari sudut Rububiyyah, Uluhiyyah dan Hakimiyyah adalah seruan revolusi supaya menggulingkan kerajaan.


BAB 4 : PEMIKIRAN SAYYID QUTB


Perkembangan pemikiran Sayyid Qutb berkembang selari dengan perkembangan hidup beliau. Beliau banyak menumpukan perhatian dari sudut sastera sehingga akhir tahun 40-an. Sayyid Qutb berusaha untuk meluruskan kefahaman aqidah Islam masyarakat yang telah menyeleweng dan menyimpang dari landasannya, kerana tidak mungkin dapat memperbetulkan amalan seseorang apabila kefaham aqidahnya menyeleweng dan menyimpang.
Pemikiran Sayyid Qutb dipaparkan dari sudut Ilahiyyat, dakwah dan keadilan sosial. Pemikiran beliau mempunyai keselarasan dengan keadaan semasa dan boleh dijadikan panduan dalam semua aspek kehidupan masyarakat Islam.


Pemikiran Ilahiyyat Sayyid Qutb
1.      Al-Uluhiyyah Menurut Sayyid Qutb

Menurut Sayyid Qutb, Tauhid al-Uluhiyyah pada asasnya sama seperti  pandangan para ulama Salafiyyah dan ulama sezaman yang mengambil inti pati kepada  al-Tauhid. Konsepnya ialah Tauhid al-Ibadah atau dikenali sebagai al-Ubudiyyah. Malah, beliau berpegang bahawa mengesakan Allah SWT dari sudut al-Uluhiyyah ialah manifestasi daripada syahadah. Ia merupakan persoalan utama yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Tauhid al-Ibadah atau dikenali sebagai al-Ubudiyyah membiacarakan hak ini pada aspek zat dan sifat Allah iaitu hak tersebut menuntut pengabdian daripada hambanya. Secara khususnya, perbicaraan mengenai al-Uluhiyyah menurut beliau boleh dibahagikan kepada cua persoalan.
Pertama, tauhid al-Uluhiyyah pada zat dan sifat. Perkara yang ditekankan oleh beliau dalam hal ini ialah mengesakan Allah SWT dari sudut zat dan sifat serta membersihkan zat dan sifatnya daripada sebarang persamaan dengan makhluk. Inilah yang diertikan oleh ulama seperti Abu Hanifah dan Abu Ja’far al-Tahawi bahawa Allah Maha Esa dan tiada sekutu baginya.
Kedua,tauhid al-Uluhiyyah pada sultan, al-hakimiyyah dan tasyri’. Konsep al-Uluhiyyah dari sudut ini lebih menjadi keutamaan kepada beliau. Hal ini lebih banyak dibincangkan dalam tafsirnya iaitu Tafsir Fi Zilal Al-Quran. Beliau menjelaskan persoalan ini dalam perbicaraan mengenai syariat dan hukum. Penekanan yang lebih diberikan terhadap perkara ini kerana dari sudut tauhid, ia dianggap sebagai perkara baru.
Di dalm bukunya iaitu Hadha Al-Din, beliau mengatakan syahadah dengan maknanya yang paling hampir ialah mengesakan Allah dari sudut al-Uluhiyyah dan tidak ada sesuatupun makhluk yang menyekutukannya pada mana-mana hak al-hakimiyyah yang mutlak. Persoalan al-hakimiyyah dan tasyri’ menjadi lebih penting kepada Sayyid Qutb apabila beliau menegaskan al-hakimiyyah merupakan asas kepada al-din. Beliau menjelaskan bahawa menurut Islam, persoalan syariat adalah sama dengan persoalan akidah dalam menentukan sifat-sifat Islam. Ini disebabkan, persoalan syariat merupakan sebahagian daripada persoalan akidah.

2.      Tauhid Al-Rububiyyah Menurut Sayyid Qutb

Pada asasnya, beliau membicarakan mengenai konsep al-Rubibiyyah dari segi tauhid sama seperti yang dijelaskan oleh ulama sebelumnya. Ia meliputi sifat-sifat ketuhanan, penciptaan, penjagaan dan pengurusan. Beliau juga meluaskan skop al-Rububiyyah ini kepada konsep al-hakimiyyah dan pemerintahan.
1.      Al-Rubiyyah dari sudut pemilik, pencipta dan pengurus.

Beliau menjelaskan konsep ini sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-fatihah iaitu gambaran panduan akidah Islam yang kemas dan bersistem dengan pemikiran falsafah yang berbeza dengan pemikiran falsafah yang diasaskan oleh Arispoples. Arispoples menganggap tuhan menciptakan alam ini dan seterunya membiarkan alam ini kerana zat tuhan yang maha tinggi tidak layak untuk memikirkan hal-hal  selain daripada dirinya.

2.      Al-Rububiyyah dari sudut al-hakimiyyah.

Sayyid Qutb mengatakan bahawa ayat dari surah al-A’araf ayat tujuh menyatakan seruan supaya dikembangkan semula seluruh al-Ubudiyyah manusia di alam ini kepada Rabb al-Alamin. Ini kerana Allah SWT merupakan tuhan kepada seluruh alam, maka tidak layak bagi mana-mana manusia yang hanya bersifat hamba kepada Allah SWT memperhambakan manusia yang lain.
Sayyid Qutb menjadikan aqidah sebagai teras serta tunjang dalam pemikiran dakwahnya. Ini diikuti dengan pembentukan masyarakat dan jemaah Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Pemikiran Sayyid Qutb mengenai keadilan sosial merujuk kepada buku al-‘Adalah al-Ijtima’iyyah fi al-Islam. Beliau memulakan perbicaraan dengan mengemukakan pandangannya tentang bentuk keadilah sosial Islam dan garis kasarnya, asas-asas keadilan sosial Islam, metod untuk merealisasikan keadaan sosial sistem pemerintahan Islam dan sistem ekonomi Islam.


BAB 5 : TUDUHAN SERTA SALAH FAHAM TERHADAP PEMIKIRAN SAYYID QUTB


Salam Faham Terhadap Pemikiran Sayyid Qutb

Sayyid Qutb merupakan salah seorang tokoh gerakan Islam yang tidak asing lagi bagi umat Islam terutamanya kepada pendakwah di seluruh dunia. Beliau ialah salah seorang dari pemimpin terkemuka gerakan Ikhwan Al- Muslimin di Mesir. Beliau banyak menulis buku-buku yang menitik beratkan dengan persoalan pemikiran Islam dan pemurnian akidah Islam.
Walaupun sudah hampir 20 tahun buku karangan Sayyid Qutb iaitu Ma’lim Fi Al-Tariq diterbitkan, masih terdapat beberapa perenggan dalam tulisan beliau yang menimbulkan perselisihan faham di kalangan jamaah Islam khususnya yang berkaitan dengan persoalan hakimiyah, masyarakat jahiliyah, uzlah dan juga peringkat-peringkat pelaksanaan hukum. Sayyid Qutb diisytiharkan sebagai pengganas oleh majalah Angkatan Tentera, Jilid No. 446 bertarikh 18 Oktober 1965. Bukan itu sahaja, malah Sayyid Qutb turut dituduh sebagai pengkhianat dan perancang kekacauan di Mesir.
 Segelintir pemuda Islam yang menjadi ahli sesetengah jamaah Islam memahami bahawa konsep hakimiyah yang dihuraikan oleh Sayyid Qutb itu dengan kefahaman yang tidak tepat sehingga menyebabkan mereka sanggup mengisytiharkan kepada umum yang jemaah mereka sahajalah yang merupakan jemaah Islam yang sebenar-benarnya. Jamaah mereka kononnya ditegakkan dengan tujuan mengembalikan manusia kepangkuan Islam yang sebenar. Ini kerana menurut mereka, orang-orang Islam telah murtad sejak kurun ke 14 lagi dan proses murtad ini berlaku secara berterusan sehingga zaman kita ini. Jamaah mereka sahajalah yang kononnya ditegakkan untuk menghancurkan berhala-berhala yang disembah selain daripada Allah dan berhala yang pertama ialah imam-imam yang menjadi ikutan kepada orang-orang Islam.
Antara contoh salah faham terhadap Sayyid Qutb  ialah :
1.      Dari idea hakimiyah yang dikemukakan oleh Sayyid Qutb dikatakan munculnya idea mengkafirkan pemerintah dan sistem pemerintahan yang sedia ada, harus merampas harta negara, memerangi tentera dan polis serta menganggap berkhidmat dalam profession ketenteraan dan kepolisan sebagai kafir.

2.      Tulisan-tulisan Sayyid Qutb dikatakan mempunyai pengaruh yang besar. Di dalam buku Ma’alim Fi Al-Tariq, beliau telah menggariskan manhajnya dan mengfokuskan perbincangan beliau kepada pertentangan sengit yang berlaku antara masyarakat dengan pemerintah. Tidak ada ruang kekal kepada mana-mana pihak ini kecuali dengan cara menghapuskan pihak yang satu lagi. Yang ada hanyalah Islam dan jahiliyyah dan hakimiyah Allah dengan hakimiyah manusia. Tidak mungkin dapat melakukan perubahan kecuali dengan cara menghapuskan kuasa pemerintahan dan jaguh-jaguh kekufuran, seterusnya meletakkan jaguh-jaguh keimanan di tempat mereka sebagai ganti. Operasi ini hanya dapat dilakukan oleh barisan orang-orang yang benar-benar beriman sahaja iaitu yang diibaratkan oleh Sayyid Qutb dengan istilah generasi Al-Quran baru seperti mana generasi sahabat diperingkat awal kemunculan Islam.

3.      Sayyid Qutb dikatakan menghukum manusia yang tinggal di benua-benua Islam sebagai orang-orang jahiliyyah yang terkeluar dari Islam walaupun ternyata mereka masih lagi  menunaikan solat, berpuasa, dan menunaikan fardu haji kecuali mereka yang terlibat dengan organisasi  jamaahnya sahaja.


Salah Faham Terhadap Mukaddimah Buku Ma’alim

Dalam bahagian mukaddimah Al-Ma’alim, Sayyid Qutb telah mengemukakan beberapa ungkapan yang ditafsirkan oleh sesetengah kalangan dengan tafsiran bercanggah dengan manhaj Islam dan prinsip-prinsip syariah yang menjadi pegangan Sayid Qutb sendiri. Antara ungkapan tersebut ialah:
1.      Umat dan Kufur
Sayyid Qutb menjelaskan umat Islam adalah satu jemaah dari kalangan umat manusia. Kehidupan, tasawwur, fenomena, sistem, nilai dan ukuran yang dipunyai mereka sumuanya adalah bersumberkan dari manhaj Islam.  Umat Islam yang mempunyai ciri-ciri seperti ini sudah tidak wujud lagi semenjak terputusnya pelaksanaan hukuman berdasarkan kepada syariat Allah dari atas muka bumi ini secara keseluruhannya. Umat seperti inilah yang disebutkan oleh nabi dalam salah satu hadisnya.
Kewujudan umat ini mula pupus seperti yang disebut oleh Sayyid Qutb disebabkan munculnya penguasaan kepimpinan perundangan-perundangan sekular yang tidak berlandaskan kepada ajaran agama. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna setiap individu yang wujud di kalangan umat Islam telah menjadi kafir kesemuanya. Sayyid Qutb tidak pernah bermaksud begitu. Sesetengah penulis membuat komentar bahawa Sayyid Qutb menuduh orang-orang Islam yang menetap di seluruh benua-benua Islam adalah golongan jahiliyyah dan terkeluar dari ajaran Islam, walaupun mereka menunaikan solat, berpuasa dan menunaikan haji kecuali mereka yang menganggotai jamaah Ikhwan sahaja. Golongan Ikhwan sahaja yang akan terselamat dari jahiliyyah dan angkara murtad.
Dakwaan ini sebenarnya tidak berasas sama sekali kerana ungkapan Sayyid Qutb membicarakan tentang umat Islam sebagi satu peribadi maknawi yang tergambar kepada negara dan institusi perlembagaan yang melibatkan perundangan dan juga kehakiman. Perbincangan beliau langsung tidak berkaitan dengan individu.
2.      Jammaah dan Iman
Kenyataan bahawa Sayyid Qutb mengkafirkan orang-orang yang tidak mengangotai jammaahnya adalah tidak benar, sebaliknya beliau menghukumkan orang Islam yang beramal sendirian sebagai masih lagi seorang Islam dan bukannya kafir. Anggapan musuh-musuhnya adalah tidak berasas sama sekali. Malah Sayyid Qutb pernah ditanya tentang perbezaan antara orang Islam yang menganggotai Jamaah Ikhwan. Beliau menjawab “Yang membezakan antara anggota Ikhwan dengan orang lain ialah mereka mempunyai manhaj yang lebih sistematik dalam rangka merealisasikan Islam. Sehubungan dengan itu adalah wajar sekiranya mereka lebih diutamakan berbanding orang lain yang tidak menganggotai Ikhwan”.  Sayyid Qutb tidak pernah berpendapat menganggotai jamaah itu sebagai satu syarat yang menpunyai hubungan dengan keimanan, kerana itu beliau tidak pernah megkafirkan orang yang tidak menganggotai jemaahnya.
Walaupun begitu, beliau berpendapat bahwa mengangotai jamaah termasuk dalam keperluan tarbiyyah dan ia merupakan satu wasilah bagi menegakkan negara Islam.  Beliau pernah menyatakan “Seorang muslim tidak dapat membina keperibadian dirinya kecuali dibawah bayangan jemaah”. Beliau juga menyatakan “Tidak mungkin Islam dapat ditegakkan kecuali didalam bayangan jamaah yang teratur yang mempunyai ikatan, sistem dan objektif jama’i dan dalam masa yang sama pula berusaha mengeratkan hubungan antara individu di dalam jemaah.” Tertegaknya jemaah Nabi SAW adalah merupakan satu wasilah untuk menegakkan negara Islam di Madinah.
Sayyid Qutb tidak pernah berpendapat jamaah Ikhwan sahajalah sebagai jemaah orang-orang Islam yang sebenarnya. Dengan maksud lain, beliau tidak pernah berpendapat orang yang tidak menyertai jemaahnya sebagai kafir. Apa yang beliau maksudkan ialah perlu ada satu jemaah dari kalangan umat Islam yang menjalankan gerak kerja dalam menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.


BAB 6 : PANDANGAN ULAMA TERHADAP PEMIKIRAN SAYYID QUTB


Hasan al-Hudaibi
            Hasan al-Hudaibi adalah antara salah seorang inividu yang membuat kritikan terhadap pemikiran al-Mawdudi dan Sayyid Qutb. Namun beliau tidak membuat kritikan secara langsung malah beliau mengkritik secara istilah al-Hakimiyyah yang menurutnya tidak berdasarkan nas dan telah dijadikan dasar akidah oleh segolongan penduduk Mesir pada masa itu. Dalam bukunya, al-Hudaibi mengulas masalah ini dalam dua fasa iaitu fasal keempat dan kelima. Dalam fasal keempat, al-Hudaibi mengatakan lafaz al-Hakimiyyah menjadi sebutan beberapa golongan yang merujuk kepada beberapa makna dan hukum yang terkandung dalam ayat al-Quran dan hadis. 
            Mengulas persoalan ini lagi, al-Hudaibi mengatakan keyakinan beliau berdasarkan kajiannya bahawa istilah al-Hakamiyyah tidak terdapat dalam al-Quran mahupun hadis-hadis yang sahih. Oleh itu, bagi beliau ciptaan manusia tidak maksum selain daripada kenyataan al-Quran dan hadis nabi. Bagaimanapun dalam fasa kelima, beliau jelas menyokong seruan Sayyid Qutb dalam konteks mengembalikan semula segala urusan sama ada dalam menentukan hukum, perintah dan syariat Allah.
            Selain itu juga, beliau menegaskan bahawa sesiapa yang beriktikad bahawa mana-mana individu atau pertubuhan atau golongan yang tidak berhak menentukan halal haram adalah berlawanan dengan apa yang ditetapkan oleh Allah dan melanggar perintah Allah. Oleh itu, bagi beliau orang yang beriktikad seperti itu adalah kafir dan musyrik serta terkeluar daripada Islam. Al-Hudaibi menambah lagi, bahawa persoalan seperti itu adalah termasuk dalam tuntutan iman dan syahadah. Ini kerana antara tuntutan iman dan tauhid kepada Allah SWT ialah penegasan bahawa Allah yang berhak disembah dan Dia sahaja yang berhak menerima penyerahan sepenuhnya.
            Dengan itu, berdasarkan penjelasan al-Hudaibi dalam fasa kelima bukunya, jelas bahawa beliau tidak menolak konsep al-Hakimiyyah yang dikemukakan oleh Sayyid Qutb. Apa yang beliau menolak hanyalah pembawaan konsep ini secara melampau oleh golongan yang dikenali sebagai puak Takfir wa al-Hijrah. Selain itu, al-Nadwi juga turut menyokong pandangan yang dikemukakan oleh al-Hudaibi. Beliau mengatakan bahawa kemunculan satu puak itu seperti di Mesir yang terpengaruh dengan penulisan mengenai al-Hakimiyyah dan berpegang dengannya secara membuta tuli dan melampau.
            Selanjutnya lagi, menurut penulis buku Fi Zilal al-Quran fi al-Mizan turut memberikan pandangan yang sama. Beliau mengatakan al-Hudaibi mestilah bertanggungjaab membanteras pemikiran yang melampau yang berasaskan konsep al-Hakimiyyah oleh golongan tersebut. Bagaimanapun, al-Hudaibi tidak perlu menolak persoalan al-Hakimiyyah itu secara melampau sehinnga menyentuh kebenaran asasnya.

Hasan Ali al-Nadwi
            Sebelum menjelaskan lebih terperinci, al-Nadwi terlebih dahulu membentangkan beberapa perenggan buku Mustalahat oleh al-Mawdudi mengenai al-Hakimiyyat. Seterusnya beliau telah membentangkan beberapa perenggan Tafsir fi Zilalal-Quran dan Ma’alik fi al-Tariq oleh Sayyid Qutb untuk menonjolkan pengaruh pemikiran al-Mawdudi terhadap Sayyid Qutb sekaligus menolak konsep al-Hakimiyyah yang diutarakan oleh kedua-dua tokoh itu.
            Dengan itu, al-Nadwi mengkritik penekanan al-Mawdudi dan Sayyid Qutb kepada aspek al-Hikamiyyah dalam al-Tauhid. Menurunya lagi, penekanan ini hanya meletakkan hubungan antara Allah SWT dan manusia dari sudut al-Hakim dan mahkum sahaja yang baginya merupakan juzuk yang kecil daripada sifat-sifat Allah. Sedangkan, menurut al-Nadwi hubungan antara al-Khalid dan makhluk dan juga antara ‘ Abd dan Ma’bud lebih menyeluruh dan lebih mendalam daripada hanya membatasi perhubungan dari sudut al-Hakim dan mahkum, al-Amir dan ma’mur dan juga antara al-sultan dan ra’iyyah. Malah beliau melahirkan kebimbangan terhadap penekanan yang lebih kepada al-Hakimiyyah dan al-sultan semata-mata kerana beliau menganggap ia merupakan asas kepada hak-hak al-Uluhiyyah dan boleh membawa kepada penyelewengan dari sudut akidah.

Yusuf al-Qaradhawi
            Yusuf  al- Qaradhawi dalam karya beliau, iaitu Fiqh Awlawiyat turut menyentuh mengenai pemikiran Sayyid Qutb. Menurut Yusuf al-Qaradhawi, perkara yang paling diberi tumpuan oleh Sayyid Qutb ialah pembetulan akidah sebelum pembetulan sistem kerajaan dan merealisasikan aspek ketuhanan Allah s.w.t diatas muka bumi ini.  Perkara-perkara inilah yang sentiasa ditekankan dan dititikberatkan  dalam karya-karya terakhir beliau, terutamanya dalam Tafsir fi Zilal al-Quran. Ramai yang menganggap bahawa pemikiran berkaitan aspek ketuhanan Allah di atas muka bumi ini merupakan pemikiran al-Mawdudi dan Sayyid Qutb.
            Menurut al-Qaradhawi, anggapan ini adalah salah. Beliau mengatakan bahawa perkara tersebut telah disepakati oleh para ulama usul dan dibahaskan bahawa al-Hukm dalam ilmu Usul Fiqh bahawa al-Hakim yang sebenarnya ialah Allah dan tidak ada lagi hakim selain daripadaNya dan Rasulullah hanyalah sebagai penyampai hukum-hakam Allah SWT kepada manusia. Hal ini merupakan salah satu unsur terpenting dalam tauhid kepada Allah SWT sebagaimana maksud firman Allah dalam Surah al-An’am 6:14
 Katakanlah “ Apakah akan aku jadikan pelindung selain dari Allah yang menjadikan langi dan bumi, padahal Dia memberi makan dan tidak memberi makan? ” katakalah: Sesungguhnya aku diperintah supaya aku menjadi orang yang pertama kali menyerah diri ( kepada Allah ) dan jangan sesekali kamu masuk golongan orang musyrik ”
            Selain itu, al-Qaradhawi melihat bahawa Sayyid Qutb juga berusaha untuk memperbetulkan kefahaman akidah masyarakat yang telah menyeleweng dan meyimpang daripada jalan yang lurus. Sayyid Qutb juga menolak dan memerangi jahiliah dari segala aspek iaitu dari aspek akidah, pemikiran, dan cara hidup. Cara hidup yang dimaksudkan ialah cara hidup yang tidak selari dengan ajaran Islam sama ada dalam kehidupan individu, keluarga ataupun masyarakat.


Penutup


Semangat juang dan keberanian yang ditunjukkan oleh Sayyid Qutb menyerlahkan ketokohannya dalam memperjuangkan agama Islam. Karya-karya serta cetusan idea beliau sering dirujuk oleh sarjana-sarjana di dunia ini samada orang Islam mahupun orang Barat. Keikhlasannya dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dan menegakkan kalimah Allah seharusnya dijadikan contoh kepada generasi kini.
Buah-buah fikirannya yang mantap menjadikannya seorang pemikir yang hebat dalam usaha memperjuangkan agama Islam. Hasil penulisan beliau akan membuat hati orang yang membacanya tersentuh kerana kandungan isi dan persembahan gaya bahasa dalam karyanya itu.
Berkata Sayyid Qutb “Usaha yang paling murni dan pengorbanan yang mulia adalah untuk membangunkan sebuah masyarakat yang terbaik, iaitu yang berdiri bangunnya di atas ajaran Allah SWT”. Menurut Sayyid Qutb lagi, usaha paling murni dan pengorbanan yang paling mulia ialah membangunkan sesebuah masyarakat yang berpegang teguh dengan ajaran Allah sebelum mendahulukan usaha dan pengorbanan untuk perkara lain. Pemergian Sayyid Qutb menemui Illahi walaubagaimanapun telah meninggalkan banyak karya dan sumbangannya terhadap dunia. Pengorbanannya terhadap agama Allah SWT amat besar sekali.



RUJUKAN
1.      Yusuf  Abdullah Al-Qardhawi. (2011). Fiqh Keutamaan : Keutamaan Tugas-tugas Kaum Muslimin. Selangor : Thinker’s library Sdn. Bhd.


2.      Mohamad Kamil Ab. Majid. (1993). Tokoh-tokoh Pemikir Islam. Selangor : Budaya Ilmu Sdn. Bhd.

3.      Atriza Umar. (2010). Pahlawan Islam Kontemporari : Para Peminiang Bidadari. Selangor : Rijal Media.

4.      Salim al-Bahnasawi. (2006). Salah Faham Terhadap Pemikiran Sayyid Qutb. Johor Bahru : Perniagaan Jahabersa.

5.      Mohamad Kamil Ab Majid, Norafifah Ab Hamid & Norhidayah Mohammad. (2010). Sayyid Qutb : Cetusan Idea Seorang Pejuang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

6.      Sayyid Qutb. (1985). Jalan Pembebasan : Rintisan Islam Menuju Perdamaian Dunia. Yogyarkarta : Shalahuddin Press.










No comments: