Awak follow kita , kita follow awak balik ! hehe ^_~

Wednesday, December 12, 2012

Wasiat terakhir RasulAllah kepada Umatnya~ Tugasan Pendek 'Mabahith Sam'iyyat~ :D



KESAKITAN RASULULLAH SAW DAN WASIAT TERAKHIR BAGINDA KEPADA UMATNYA.

          
            Sebahagian ayat-ayat Al-Quran datang menegaskan hakikat kemanusiaan Nabi SAW dan bahawa baginda SAW sama seperti manusia lain yang akan merasai dan mengalami sakaratnya, seperti mana yang telah dirasai sebelumya oleh saudara-saudaranya daripada para Nabi dan Rasulullah SAW memahami daripada sebahagian ayat-ayat alQuran akan kehampiran ajalnya dan baginda SAW telah mengisyaratkan di dalam sebilangan hadis-hadis sahih akan kehampiran wafatnya. Di antaranya ada yang menegaskan kewafatannya dan ada yang tidak menegaskanya, yang mana hal itu tidak disedari daripadanya melainkan oleh individu-individu pembesar sahabat seperti Abu Bakar, Al-‘Abbas dan Muadz r.’anhum.[1]

RASULULLAH SAW SAKIT.
            Rasulullah pulang daripada mengerjakan haji wada’ pada Zulhijjah, lalu menghabiskan sisa hidupnya pada bulan Muharram dan Safar tahun kesepuluh Hijrah. Baginda melengkapi tentera Usamah dan melantik Usamah bin Zaid bin Haritsah memimpin mereka. Usamah disuruh pergi meninjau ke Balqa’ dan Palestin, lalu Muhajirin dan Ansar bersiap sedia, termasuk Abu Bakar dan Umar. Apabila Usamah bin Zaid baru berusia lapan belas tahun, lalu sebahagian manusia memperkatakan mengapa dia dilantik mengetuai pembesar-pembesar Muhajirin dan Ansar sedangkan dia adalah maula dan masih terlalu muda. Namun Rasulullah SAW tidak menerima celaan mereka terhadap kepimpinan Usamah. Lalu Rasulullah bersabda, “Sekiranya kamu menentang perintah-perintahnya bermakna kamu menentang perintah ayahnya sebelum ini. Demi Allah SWT beliau mampu menjadi pemimpin kerana ayahnya merupakan seorang yang aku cintai dan beliau juga adalah seorang yang aku cintai. Ketika manusia bersiap sedia untuk berjihad di bawah pimpinan Usamah, Rasulullah SAW sudah mula mengeluh yang baginda akan berangkat ke alam baqa’ dan terjadilah beberapa peristiwa, antaranya sakit dan wafatnya baginda, antaranya:


a.      Rasulullah SAW Pergi Ke Perkuburan Baqi’ Dan Menziarahi Para Korban Uhud Dan Memberi Salam Kepada Mereka[2]

Daripada Abu Muwaihibah maula Rasulullah SAW katanya, “Aku diajak pergi oleh Rasulullah SAW di tengah malam, sabdanya, “Wahai Abu Muwaihibah aku diperintah untuk meminta keampunan bagi ahli Baqi’ maka pergilah bersama aku,” Aku pun pergi bersamanya. Bila tiba disana baginda pun bersabda, “Assalamualaikum wahai penghuni-penghuni kubur, semoga diringgankan (seksa) keatas kamu kerana dosa yang telah kamu lakukan, seperti  yang dilakukan oleh manusia. Fitnah dan ujian datang satu demi satu laksana malam yang gelap gelita. Hilang satu datang pula yang lainnya, yang kemudian lebih buruk dari yang lainnya. Kemudian baginda datang kepadaku lalu bersabda, “Wahai Abu Muwaihibah, sesungguhnya aku telah diberi kunci khazanah dunia dan untuk kekal padanya, kemudian syurga. Maka aku diberi pilihan diantara kedua-duanya lalu aku memilih untuk menemui Tuhanku dan Syurga.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah, ambillah kunci khazanah dunia dan kekal di dalam dunia dan kemudian barulah syurga.” Jawab baginda, “Tidak, demi Allah SWT wahai Abu Muwaihibah, aku telah memilih pertemuan dengan Tuhanku dan Syurga.” Kemudian baginda memohon keampunan untuk penghuni-penghuni kubur di Baqi’ kemudian baginda beredar daripada situ. Sejak itu bermulalah sakit tenat Rasulullah SAW sehingga baginda wafat.
Daripada hadis ‘Uqbah bin ‘Amir Al-Juhani r.a katanya, “Suatu hari Rasulullah SAW keluar lalu mengerjakan solat jenazah keatas ahli keluarga seseorang dan kemudian baginda naik ke mimbar lalu bersabda, “Sesunggunya aku adalah simpanan bagi kamu, aku menjadi saksi keatas kamu dan sekarang aku telah melihat telagaku. Sesungguhnya aku telah diberi kunci khazanah bumi, atau kunci-kunci dibumi. Demi Allah SWT aku tidak takut keatas kamu akan menjadi musyrik setelahku, akan tetapi apa yang aku takutkan keatas kamu ialah bercakaran dan bersengketa kerana mengejar dunia.[3]

b.      Nabi SAW Meminta Izin Untuk Dirawat Dirumah Aisyah Dan Beratnya Penyakit Yang Menimpanya.

Aisyah r.’anha berkata, “Tatkala Rasulullah SAW lemah dengan sebab penyakit bertambah tenat, baginda meminta izin kepada isteri-isterinya agar dirawat di rumahku, lalu diberi izin. Maka Nabi SAW dipapah oleh Al-Fadhl bin ‘Abbas dan Ali bin Abu Talib. Tatkala baginda masuk kerumahnya, sakitnya semakin bertambah kuat. Baginda bersabda, “Tuangkan air ke dalam bekas untukku, mudah-mudahan aku dapat bercakap dengan manusia” dan didudukan didalam bekas membasuh Hafsah isteri Nabi SAW. Kemudian baginda keluar kepada manusia. Aisyah berkata, “Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih parah sakit daripada Rasulullah SAW. Abdullah bin Mas’ud berkata, “Aku menemui Rasulullah SAW pada waktu sakitnya, di waktu itu suhu badannya sangat tinggi. Aku tahu bila menyentuh badan Rasulullah SAW dengan tanganku, maka aku berkata “Wahai Rasulullah, suhu badan kamu sangat tinggi.” Jawab baginda, “Ya, panasnya sama dengan panas di badan dua orang.” Aku berkata, “Kamu mendapat dua pahala.” Jawabnya, “Ya benar, seorang muslim bila diserang penyakit Allah SWT mengugurkan dosanya sama seperti gugurnya daun-daun daripada pokok.”[4]

DI ANTARA WASIAT RASULULLAH PADA HARI-HARI TERAKHIRNYA.
a.      Wasiat Nabi SAW Dengan Al-Ansar.

Al-‘abbas r.a melalui satu kaum daripada Al-Ansar sedang menangis ketika Rasulullah SAW sakit tenat lalu berkata kepada mereka, “Apa yang menyebabkan kamu menangis?” Mereka menjawab, “Kami mengingati majlis kami daripada Rasulullah SAW,” lalu Al-Abbas menemui baginda SAW dan memberitahu hal itu kepadanya, lalu diikat kepalanya dengan kain hitam. Kemudian baginda keluar dan naik keatas mimbar dan tidak naik lagi selepas hari ini. Baginda memuji Allah SWT dengan puji-pujian yang layak dan kemudian bersabda, “Aku berwasiat kepada kamu dengan Al-Ansar. Sesunguhnya kaum Ansar adalah golonganku dan kaum kepercayaanku. Walaupun manusia akan bertambah atau berkurang, namun mereka boleh menerima kebaikan kaum Ansar dan memaafkan kesalahan mereka. Hadis ini menunjukkan kecintaan kaum Ansar yang sangat kuat terhadap Rasulullah SAW, serta mereka menangis kerana Nabi sakit dan diharamkan daripada majisnya.

b.      Wasiat Supaya Berpegang Teguh Dengan Al-Quran Dan Hadith Nabi.

Sabda Rasulullah SAW : “Aku tinggalkan kepadamu dua macam pekara, sekali-kali kamu tidak akan tersesat jika kamu berpegang kepada yang dua macam itu: ialah peraturan Allah (AlQuranulkarim) dan peraturan Rasul (Hadith Nabi).
Dengan adanya peringatan daripada Rasulullah sebagaimana yang tersebut ini, maka tiap-tiap umat Islam hendaklah mengetahui dan mempelajari sunnah Allah dan RasulNya, serta mengamalkannya.

c.       Janganlah Manusia Menjadi Kafir(Murtad) Kembali Sesudah Dia Beriman,
Sesungguhnya besarlah dosanya di sisi Allah orang yang berbuat demikian. Firman Allah SWT yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang murtad(Kafir sesudah beriman) nanti Allah akan mengantikannya dengan kaum Allah dan mereka berkasih-sayang sesama orang yang beriman dan keras terhadap orang kafir, mereka berperang dijalan Allah dengan tidak merasa takut kepada orang kafir. Demikian itu adalah kurnia dari Allah yang diberikanNya kepada orang yang dikehendakiNya dan Allah SWT maha mengeathui.[5]

d.      Mengeluarkan Kaum Musyrikin Daripada Jazirah Arab Dan Memberi Hadiah Kepada Utusan.

Penyakit rasulullah SAW bertambah parah yang mana baginda di dalam sehari pengsan beberapa kali. Namun di samping itu baginda suka meninggalkan dunia dengan memastikan umatnya tidak akan sesat setelah kepergiannya, lalu baginda ingin menulis pesanan kepada mereka agar mereka bersepakat ke atasnya dan tidak berbantah-bantahan. Baginda mewasiatkan tiga perkara kepada mereka iaitu:
a.       Usirlah orang-orang Musyrikin daripada Semenanjung Tanah Arab.
b.      Berikanlah kepada para tetamu sesuatu yang sama dengan apa yang aku berikan kepada mereka. Kemudian baginda diam tidak menyebutkan yang ketiga atau mungkin baginda menyebutnya tetapi aku terlupa.

e.       Larangan Menjadikan Kuburnya Sebagai Masjid.
Di antara ucapan terakhir yang di lafazkan Rasulullah SAW iaitu, “Allah SWT telah memusuhi orang-orang Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid.

f.       Berbaik Sangka Dengan Allah SWT.
Jabir r.a berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda tiga hari sebelum wafatnya:
“Perbaikilah sangkaan kamu dengan Allah SWT.”

g.      Berwasiat Dengan Solat Dan Hamba Sahaya Yang Kamu Miliki.
Anas r.a berkata, “Rasulullah SAW berwasiat ketika didatangi maut agar menjaga solat dan hamba sahaya yang kamu miliki, sehingga kalimah itu berulang-ulang di dada Rasulullah SAW dan hampir-hampir tidak dapat diucapkan lidahnya.[6]
Sesuatu yang paling terkini diucapkan Nabi Sallahu Alaihi wa Sallam sebelum baginda wafat adalah, “Ash-shalah! As-Shalah! Wa maa malakat aymanukum”; Ingatlah Solat! Ingat Solat! Dan budak-budak kamu.
Hadis tadi diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib, Anas bin Malik, Ummu Salamah dan sebagainya. Ummu Salmah berkata, “Ia (Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam) terus mengucapkan (solat dan para budak) sampai ucapan tersebut memenuhi lidahnya”.
            Solat merupakan wasiat terakhir Nabi Muhammad SAW kepada umatnya. Ini bermakna bahawa solat merupakan sesuatu yang paling agung yang harus diperhatikan. Tindakan Rasulallah SAW yang begitu sekali mengucapkan kata-kata solat dengan berulang-ulang di detik-detik terakhir hidupnya menunjukkan kedudukan solat dalam agama yang suci ini.
            Solat merupakan wasiat yang harus kita renungi dan fikirkan. Rasulallah SAW adalah sifat yang tidak bercakap dengan berdasarkan hawa nafsu. Di dalam setiap ucapan dan perbuatannya terdapat hikmah yang terkadang kita ketahui dan terkadang tidak, namun Allah SWT menyiapkan orang yang mengetahui hikmah tersebut.
            Kerana wasiat ini mempunyai kedudukan yang tinggi, maka orang yang menulis tentang solat tidak terhitung jumlahnya dan setiap orang menulis sesuai keperluan zamannya.
            Saat ini, banyak orang yang meremehkan permasalahan solat. Bagi sebahagian mereka, kedudukan solat masuk ke dalam daftar terkini dari hal-hal yang harus mereka perhatikan. Firman Allah SWT yang berbunyi, “peliharalah segala solat.” (Al-Baqarah:238).[7]
            Solat merupakan rukun Islam yang kedua. Turutannya setelah mengucapkan syahadat yang menunjukkan ke-Esaan Allah SAW. Oleh kerana itu, solat merupakan rukun amali (rukun yang sifatnya diamalkan) pertama yang tidak boleh dibandingkan dengan amal yang lain, seperti dijelaskan dalam nas-nas (al-Quran dan hadis) yang mulia.
            Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar Radhiyallahu anhu, Rasulullah SAW bersabda, “Islam itu dibangun atas lima perkara: syahadat tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasulallah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa Ramadhan.” (HR.Bukhari(8) dan Muslim(16)).
            Dan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muadz bin Jabal, Rasulallah SAW bersabda, “Yang pentingnya perkara adalah Islam dan tiangnya adalah solat” (HR.Al-Tirmizi (2616) dan Ibnu Majah(3973)).
            Solat adalah berdiri di hadapan Allah SWT dengan penuh kehambaan, kerendahan dan kehinaan untuk bermunajat kepadaNya sesuai dengan cara yang telah digariskan untuk tujuan ini.
            Jika dibandingkan dengan ibadah-ibadah lain dalam Islam, solat mempunyai kedudukan utama kerana dua hal:
            Pertama: Dari sisi sejarah, solat merupakan ibadah pertama yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada kaum muslimin.
            Kedua: Banyaknya nas-nas yang terbaik al-Quran mahupun hadis yang berbicara mengenai solat dan hal ini tidak kita dapat dalam ibadah lain.
            Untuk menjelaskan alasan pertama, Rasulullah SAW mula mengerjakan ibadah solat pada awal-awal dan selepas turunnya wahyu secara langsung untuk pertama kali. Diriwayatkan, bahawa Ali Radhiyallahu anhu masuk ke dalam rumah Nabi SAW ia tinggal bersama-sama dengan Rasulallah dirumahnya, kemudian ia mendapatkan Rasulallah SAW sedang solat dan Sayyidah Khadijah bersama dengannya. Kemudian Ali berkata “Apa ini wahai Muhammad?’” Baginda SAW menjawab, “Agama Allah yang dipilih untuk diriNYA”. Kemudian Baginda menjelaskan perihal ibadah solat.
            Dalam sirah disebutkan bahawa, “Dahulu, orang yang masuk Islam, ketika dia ingin solat, maka ia pergi ke jalan yang menuju ke gunung (tempat sepi) agar solatnya tidak diketahui oleh orang-orang musyrik”.[8]


h.      Tidak Ada Lagi Berita Gembira Kenabian Yang Tertinggal Selain Mimpi Yang Benar (Ru’ya).

Abdullah bin ‘Abbas r.a berkata, “Rasulullah SAW telah menyingkap tabir dan Rasulullah berbalut kepalanya pada sakit matinya lalu baginda bersabda, “Ya Allah, aku telah menyampaikan (tiga kali) sesungguhnya tidak ada lagi berita gembira kenabian melainkan mimpi benar yang dilihat hamba yang soleh atau diperlihatkan kepadanya. Ingatlah sesungguhnya aku dilarang membaca ayat alquran didalam rukuk dan sujud. Apabila kamu rukuk maka agungkanlah Allah SWT dan apabila kamu sujud maka bersungguh-sungguhlah di dalam berdoa. Maka ia lebih layak dikabulkan bagi kamu.

ABU BAKAR BERSOLAT MENGIMAMKAN KAUM MUSLIMIN
            Apabila sakit Rasulullah SAW semakin bertambah tenat dan waktu solat telah masuk, lalu Bilal azan, baginda SAW bersabda, “Suruhlah Abu Bakar agar mengimamkan sembahyang bersama orang ramai.” Aisyah berkata, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Bakar itu sangat mudah bersedih dan tidak layak menduduki tempat kamu. Beliau tidak akan mampu sembahyang dengan orang ramai.” Baginda bersabda lagi, “Suruhlah Abu Bakar supaya sembahyang bersama orang ramai, kamu adalah seperti teman Nabi Yusuf di dalam kepandaian menyusun kata-kata. Ketika Abu Bakar mengimamkan orang ramai, maka Nabi SAW keluar untuk menjadi makmum di belakang. Abu Bakar menyedari kehadiran baginda, lalu Abu Bakar pun melambatkan sembahyangnya kerana menunggu baginda. Nabi SAW mengisyaratkan kepadanya supaya meneruskan sembahyangnya dan baginda duduk disamping Abu Bakar dan Abu Bakar memperdengarkan takbir kepada orang ramai.[9]


ULASAN
            Dalam kisah ini dapatlah kita mengkaji dan meneliti sebab-sebab mengapa Rasulullah SAW begitu mengambil berat masalah umat baginda, sebabnya baginda SAW adalah seorang nabi dan rasul yang tidak menyayangi diri sendiri tetapi beliau sayangi semua umat beliau, dan perjuangan Rasulullah SAW adalah semata-mata untuk membawa umat beliau semua kesyurga Allah. Cuba kita lihat kasih sayang seorang ibu atau bapa dengan kasih sayang Rasulullah SAW dengan kita. Apabila seorang ibu atau bapa menyayangi anak-anak mereka maka mereka akan membeli apa sahaja barang yang diminta oleh anak-anak mereka, tetapi dalam hal kasih sayang antara anak dan ibu bapa ada batasnya, apabila seseorang ibu atau bapanya itu berasa gembira dengan pencapaian anaknya dalam bidang pelajaran dan tidak mahu mengajar anaknya itu dengan pendidikan Islam maka ianya bukan dikatakan seorang ibu atau bapa itu sayang kepada anaknya. Sebabnya yang akan menjaminkan anak itu mendapat kejayaan di dunia dan akhirat adalah dengan mengajar anak itu dekatkan kepada Allah, kalau anak itu cuma dididik dengan mempelajari pelajaran lain maka anak itu cuma dididik dengan mempelajari pelajaran lain maka anak itu akan jadi pandai dalam hal itu dan tidak tahu langsung tentang agama. Apabila ini berlaku maka inilah yang dikatakan seorang ibu atau bapa itu cuma sayang anak itu kerana dia menjadi pintar dalam bidang yang dipelajarinya.
Dalam masa itu haruslah seorang ibu atau atau bapa itu sedar bahawa anak yang mereka tidak didik dengan cara Islam sebenarnya mereka tidak sayang kepada anak itu, seorang ibu atau bapa hanya dikatakan sayang kepada anaknnya apabila dia memelihara anak itu mengenal Allah dan rasul serta mendekatkan diri pada Allah, sebab yang dikatakan demikian adalah kerana Allah SWT telah terangkan kepada kita bahawa kita akan dibangkitkan kembali ke satu alam yang disebut alam Akhirat dimana di sana kita akan disoal satu demi satu, dan mereka yang tidak mengerjakan suruhan Allah akan dicampak ke dalam api neraka yang sangat pedih siksanya. Kalau seorang ibu atau bapa sayang kepada anaknya apakah dia akan membiarkan anaknya itu membesar tanpa mengenali Allah dan Rasul, apakah seorang ibu atau bapa berasa gembira apabila melihat anaknya tidak sembahyang, tidak berpuasa, tidak mahu mengeluarkan zakat, dan lebih suka hidup cara Yahudi dengan mengamalkan budaya-budaya karut dan fahaman-fahaman karut.
           Seorang ibu dan bapa juga dikatakan pengkhianat kalau hanya mereka sahaja yang mengamalkan agama tanpa mempedulikan tentang anak-anak mereka,padahal mereka itu adalah penentu kemanakah mereka hendak membawa anak itu, sama ada dekat kepada Allah atau dekat kepada neraka. Kalau ibu bapa bergembira anak-anaknya mendapat pekerjaan yang baik dan gaji yang besar dan mereka tidak mendidik anak-anak itu dengan agama Allah, dan apabila mereka (ibubapa) itu telah tua dan telah sedar mati itu terlalu dekat maka mereka tidak pedulikan anak uang mereka banggakan dahulu, sebaliknya mereka memulakan solat dan mengingati Allah, jadi dalam hal ini yang dikatakan pengkhianat ialah kedua ibu bapa kalau hendak berdakwah dengan anak rasa malu sebab diawal-awal lagi dia tidak diajar mengenali Allah dan Rasul. Ini bukanlah dikatakan sayangnya ibu bapa pada anak-anak mereka.
           Cuba kita lihat pula bagaimana Rasulullah SAW menyayangi umat beliau, baginda berdakwah demi untuk umat beliau supaya semua umat beliau memasuki syurga Allah, walaupun beliau cedera dalam menyampaikan dakwah tetapi beliau tetap berjuang hingga ke akhir hayat untuk mendekatkan umat beliau kepada Allah SWT.  Rasulullah SAW telah mengajar segala yang perlu kepada kita supaya kita mengikut cara beliau dalam semua bidang, ini bertujuan supaya kita mendapat kejayaan didunia dan akhirat, kita juga harus mempelajari semua bidang yang perlu, sama ada bidang sains, bidang perniagaan atau bidang-bidang lain dengan syarat ianya tidak lari dari ajaran Islam. Cinta Rasulullah SAW pada kita adalah yang unggul dan tidak berbelah bagi, sebab itu Rasulullah SAW menyuruh kita membuat perkara-perkara yang dituntut, dan Rasulullah SAW sangat sayang pada kita dan baginda tidak sampai hati untuk melihat umat baginda berada dalam penyiksaan Allah di akhirat nanti.
Sebab itulah walau pun baginda telah tahu ajal baginda telah dekat namun baginda menggunakan masa yang ada sedikit itu dengan memberi amaran dan nasihat terakhir, inilah yang dikatakan sayang dan sejati. Hidup kita ini tidak akan kekal, satu hari nanti kita juga akan mati, oleh itu ingatlah segala pesanan junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan dekatkanlah diri kita kepada Allah, janganlah kita tangguh-tangguh lagi kerana mati itu terlalu dekat pada kita dan ia adalah perkara yang PASTI akan berlaku.
Ya Allah peliharalah kami semua dari godaan dunia, peliharalah kami dari dunia yang penuh dengan muslihat, pimpinlah kami ke jalan yang lurus ke jalan yang Engkau redhai. Amin.

RUJUKAN :

1.       Dr. Ali Muhamad As-Salabi, (2008). Biografi Rasulullah SAW. Selangor : Berlian Publications Sdn Bhd. cetakan 1.
2.       Hadiyah Salim, (1982).  Qishashul-Anbiya(Sejarah 25 Rasul). Bandung : PT Al-Ma’arif. cetakan ke 1V.
3.      Shaleh Ahmad Syami, (2011). Solat Amanat Terakhir Rasulullah SAW. Kuala Lumpur : Synergy Media.





[1]   Dr. Ali Muhamad As-Salabi, 2008, Biografi Rasulullah SAW, Selangor : Berlian Publications Sdn Bhd, cetakan 1, ms 454.
[2] Dr. Ali Muhamad As-Salabi, 2008, Biografi Rasulullah SAW, Selangor : Berlian Publications Sdn Bhd, cetakan 1,ms 460-461
[3] Ibid ms 461-462.
[4] Ibid 462
[5] Hadiyah Salim, 1982,  Qishashul-Anbiya(Sejarah 25 Rasul), Bandung : PT Al-Ma’arif, cetakan ke 1V, ms 273-274.
[6]  Dr. Ali Muhamad As-Salabi, 2008, Biografi Rasulullah SAW, Selangor : Berlian Publications Sdn Bhd, ms  463-464.
[7] Shaleh Ahmad Syami, 2011, Solat Amanat Terakhir Rasulullah SAW, Kuala Lumpur : Synergy Media, ms v-vii.
[8] Ibid ms 1-3.
[9] Dr. Ali Muhamad As-Salabi, 2008, Biografi Rasulullah SAW, Selangor : Berlian Publications Sdn Bhd, ms 464-465.

No comments: